10 orang selamat selepas bot karam di perairan Tawau

Bernama
September 28, 2016 10:25 MYT
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 6.07 pagi. - Gambar hiasan
Seramai 10 penumpang bot berjaya diselamatkan selepas bot jongkong yang dinaiki mereka karam di perairan daerah ini, pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Mustafa Maaruf Mustafa berkata kesemua mangsa yang terdiri enam wanita dan empat lelaki itu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang berada di sekitar lokasi kejadian.
"Semasa kejadian itu kami menerima laporan mengenai satu bot jongkong yang dalam perjalanan dari Sungai Melayu menuju ke pelabuhan Tawau, karam.
"Namun pada 7.45 pagi tadi kami telah dimaklumkan bahawa kesemua mangsa bot karam itu berjaya diselamatkan dan telah di bawa ke Kampung Sungai Melayu," katanya dalam kenyataan. -- BERNAMA
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah #Kampung Haji Kuning #perahu karam #Tawau
;