10 orang melecur terkena letupan bunga api sambutan tahun baharu di Klang

Astro Awani
Januari 1, 2017 01:01 MYT
Imej pegun daripada salah satu rakaman video amatur saksi kejadian di Kompleks Sukan pandamaran malam tadi. - Foto: Sumber Facebook
Keseronokan menyambut kedatangan tahun baharu 2017 bertukar panik apabila pertunjukan bunga api di Kompleks Sukan Pandamaran, Klang malam tadi tidak berlangsung dengan baik, hinggakan seramai 10 orang melecur akibat terkena percikan api dan ledakan dari jarak dekat.
Kejadian dipercayai berpunca daripada masalah ledakan awal berikutan bunga api itu meletup sebelum ia ditembakkan lebih tinggi ke udara lalu terkena khalayak pengunjung yang berhampiran.
Bernama melaporkan, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohd Sani Harul berkata tiga mangsa mengalami lecur teruk manakala tujuh lagi melecur ringan di kaki.
"Yang melecur ringan diberi rawatan oleh pasukan perubatan di tempat kejadian sementara yang melecur teruk dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk rawatan lanjut," katanya.
Beberapa rakaman video amatur daripada saksi kejadian kini tersebar di media sosial.
Dalam video berkenaan, orang ramai lari bertempiaran untuk meninggalkan lokasi sambutan sejurus berlaku letupan tanpa kawalan, yang menyaksikan lintasan percikan api yang sangat dekat dengan aras mata mereka.
Terdapat juga beberapa orang yang tersadung lalu terjatuh dalam percubaan menyelamatkan diri.
Sementara itu dalam visual lain, kelihatan seorang wanita mendakap dua kanak-kanak yang menangis dalam percubaan mententeramkan mereka, sebelum dikejutkan dengan ledakan bunga api dari jarak dekat.

kompleks pandamaran, klang. bunga api salah percik pic.twitter.com/7ebxQ4fNAK

— niko (@crypnic) December 31, 2016
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#bunga api #Klang #letupan #mangsa melecur #mercun #sambutan tahun baru