10 November diisytihar Hari Enggang Kebangsaan
Madiha Abdullah
November 10, 2024 15:30 MYT
November 10, 2024 15:30 MYT
SHAH ALAM: Buat pertama kali dalam sejarah, tarikh 10 November diisytihar sebagai Hari Enggang Kebangsaan, yang merupakan satu langkah penting dalam usaha berterusan untuk menggalakkan kepelbagaian biologi dan penjagaan alam sekitar.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, burung enggang memainkan peranan penting dalam pemeliharaan hutan hujan di negara ini, dan pengisytiharan itu diharapkan dapat memangkin lebih banyak penyertaan aktif dalam aktiviti pemuliharaan hidupan liar.
“Antara keistimewaan burung enggang ini ialah ia dikenali sebagai the farmer of the forest atau petani hutan. Mereka memainkan peranan penting dalam menyebarluaskan benih pokok, sekali gus membolehkan tumbuhan tersebar.
“Burung enggang juga memainkan peranan dalam perlindungan pelbagai spesis ikonik termasuk harimau Malaya, tapir dan orang utan,” katanya.
Tambah Nik Nazmi, sebagaimana tarikh 17 Mei dicadangkan sebagai Hari Beruang Matahari Sedunia, Malaysia merancang membawa tarikh 10 November untuk diiktiraf sebagai Hari Enggang Sedunia.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran Hari Enggang Kebangsaan anjuran Yayasan Sime Darby (YSD) dan pertubuhan pemuliharaan hidupan liar, Gaia, dengan disokong oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES).
Ia juga mendapat kerjasama beberapa organisasi lain iaitu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Perbadanan Perhutanan Sarawak, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Jabatan Perhutanan Sabah, Perbadanan Taman Negeri Perak, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, dan Pos Malaysia.
Ini sekali gus menyerlahkan komitmen Malaysia terhadap kewujudan bersama dan pemuliharaan serta mencerminkan usaha kolaboratif untuk menangani keperluan ekologi burung enggang dan hidupan liar lain.
Turut hadir ialah Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar dan Pengarah Saintifik Gaia, Dr Ravinder Kaur.
Sepanjang tiga tahun lalu, YSD dan Gaia telah bekerjasama dalam program pemuliharaan komprehensif untuk perlindungan burung enggang, termasuk memasang sarang tiruan dan menanam tumbuhan makanan pilihan burung enggang seperti pokok ara, untuk mengukuhkan habitat semula jadinya.
Usaha itu juga mendapat sokongan daripada agensi kerajaan dan negeri, beberapa badan bukan kerajaan lain, dan komuniti tempatan.
“Hutan kita tidak akan lengkap tanpa burung enggang. Ia melambangkan daya hidup hutan hujan kita dan merupakan petunjuk ekosistem yang sihat.
“Hari ini, kami meraikan bukan sahaja burung enggang itu sendiri tetapi juga usaha gigih pemuliharaan dan masyarakat tempatan dalam melindungi burung ini,” kata Ravinder.