10 Menteri Pertahanan ASEAN bincang isu AUKUS bulan depan - Hishammuddin
Firdaus Azil
Oktober 12, 2021 11:15 MYT
Oktober 12, 2021 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: Sepuluh Menteri Pertahanan ASEAN akan bersemuka pada November ini bagi membincangkan langkah berhubung pakatan tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS), atau AUKUS, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, persefahaman atau solidariti di kalangan negara ASEAN mampu memastikan rantau ini dapat berhadapan dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS).
Jelas Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, solidariti ASEAN amat penting kerana semua sedia maklum, tiada negara di rantau ini yang mampu berhadapan dengan kuasa besar tersebut seandainya ada konflik terjadi.
“Kita (ASEAN) dalam posisi strategik, sebab itu persefahaman di ASEAN akan membantu kita berdepan dengan kedua-dua kuasa besar ini.
"Secara individu, kekuatan ketenteraan kita terhadap AS dan China memang tak ke mana sangat. Tetapi 10 negara dalam satu rantau cukup strategik untuk China dan AS.
"Penting untuk kita berdepan dengan kuasa ini secara dekat, tetapi solidariti ASEAN tak boleh berpecah. Sebab itu, tanya apa end game ASEAN, ini bergantung kepada mesyuarat kita bulan depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu yang ingin tahu pendirian sebenar Malaysia dalam menangani isu AUKUS serta konflik yang mungkin timbul.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, biar pun Malaysia mempunyai hubungan mesra dengan kebanyakan negara, termasuk kuasa-kuasa besar, kerajaan sama sekali tidak akan membiarkan kedaulatan negara tercemar atau berada dalam keadaan berisiko.
Terdahulu, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) ingin mengetahui pendirian terkini kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan berkaitan AUKUS.
Hishammuddin berkata, beliau telah menyuarakan pandangan dan kegusaran Malaysia kepada Utusan Khas dan Menteri Pertahanan Australia tentang potensi konflik yang mungkin timbul akibat penubuhan pakatan berkenaan.
“Dalam kedua-dua perbincangan ini, saya telah menegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitik pertimbangan kuasa-kuasa besar. Saya juga tekankan, sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).
“Australia harus hormati prinsip ini dan hormati pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia termasuk di bawah United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) dan Southeast Asian Nuclear-Weapon-Free Zone Treaty (SEANWFZ),” katanya lagi.