10 leka main judi ditahan dalam pasar
Adie Sufian Zulkefli
Mei 15, 2022 10:45 MYT
Mei 15, 2022 10:45 MYT
ALOR SETAR: 10 lelaki termasuk sebilangan warga emas ditahan ketika leka bermain judi belangkas di Pasar Besar, di sini awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, menerusi Op Aidilfitri pada jam 2.30 pagi tadi.
Katanya ketika serbuan dilakukan, ada di antara mereka cuba melarikan diri namun gagal.
Siasatan mendapati kesemua suspek telah bermain judi belangkas di pasar tersebut bermula sejak Hari Raya Aidilfitri.
Susulan penahanan lelaki berusia antara 37 hingga 66 tahun itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM620 disyaki wang pertaruhan.
Menurutnya, turut dirampas beberapa peralatan yang digunakan dalam kegiatan perjudian itu.
Kesemua suspek dibawa di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.