10 laluan penerbangan antarabangsa baharu diperkenalkan bulan ini - MOTAC
Bernama
Disember 4, 2024 08:45 MYT
Disember 4, 2024 08:45 MYT
KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 laluan penerbangan antarabangsa baharu termasuk satu laluan penerbangan sewa akan diperkenalkan pada bulan ini, dengan jangkaan lebih 3,100 penerbangan mingguan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, laluan tambahan yang menghubungkan lima destinasi utama dalam negara, iaitu Kuala Lumpur, Johor Bahru, Kota Kinabalu, Langkawi dan Pulau Pinang, membolehkan negeri terlibat berkongsi faedah pasaran pelancongan sambil menyediakan pelbagai pilihan perjalanan.
"Inisiatif ini sudah pasti akan meningkatkan daya saing Malaysia dalam industri pelancongan global sekali gus dapat menjadikan Malaysia sebagai negara pilihan utama bagi pelancong antarabangsa.
"Setakat Oktober lepas, ketibaan pelancong antarabangsa ke Malaysia telah melebihi 20.5 juta untuk 2024, melebihi 20.14 juta sepanjang 2023. Saya optimis dorongan akhir tahun ini akan membawa kita lebih dekat ke tahap prapandemik," katanya dalam hantaran Facebook pada Selasa.
Beliau berkata, 10 laluan baharu ini akan dilancarkan secara progresif bermula dengan penerbangan harian terus Vietjet antara Hanoi, Vietnam dan Kuala Lumpur.
Tiong berkata, ia akan diikuti dengan penerbangan pertama Indigo Airlines ke negara ini dengan tiga laluan baharu menghubungan Malaysia dengan India, termasuk penerbangan harian dari Bengaluru ke Kuala Lumpur dan Langkawi serta penerbangan harian dari Chennai ke Pulau Pinang.
Beliau berkata, laluan baharu itu turut merangkumi penerbangan harian Batik Air antara Bangkok, Thailand dengan Johor Bahru, penerbangan tiga kali seminggu AirAsia dari Saigon, Vietnam ke Kota Kinabalu; penerbangan lima kali seminggu Malaysia Airlines dari Kolkata, India ke Kuala Lumpur serta penerbangan tiga kali seminggu Shanghai Airlines dari Yuncheng, China ke Kuala Lumpur.
Sementara itu, Tiong berkata, tarikh pelancaran penerbangan dua kali seminggu Jiangxi dari Nanchang, China ke Kuala Lumpur akan diumumkan kelak.
Beliau berkata, Jeju Air pula akan memperkenalkan laluan penerbangan sewa yang menawarkan penerbangan dua kali seminggu antara Muan, Korea Selatan dengan Kota Kinabalu, Sabah pada 10 Dis ini.
"Setelah kesemua 10 laluan mula beroperasi, kita akan menambah 50 penerbangan antarabangsa setiap minggu ke Malaysia. Kapasiti penumpang akan meningkat daripada 612,423 kepada hampir 620,000 setiap minggu.
"Berita ini pastinya menjadi peristiwa penting bagi sektor pelancongan negara ini dan saya yakin ia mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama," katanya. - BERNAMA