10 lagi 'ulat tiket' tumpas dalam Ops Parasit
Norsiah Mohd Ramli
Julai 3, 2015 13:07 MYT
Julai 3, 2015 13:07 MYT
10 ‘ulat tiket’ berjaya ditahan pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam Ops Parasit banteras aktiviti ‘ulat tiket’ di Pudu Sentral malam Khamis.
Operasi yang berjalan selama satu jam itu dilakukan secara rahsia bagi mengelak dihidu individu terlibat.
Ketua Bahagian Penguatkuasa SPAD, Datuk Che Husni Che Ahmad berkata usaha membanteras ‘ulat tiket’ ini akan dipergiat terutamanya di Pudu Sentral berikutan banyak aduan mengenai kegiatan haram itu diterima daripada orang ramai.
“SPAD akan melaksanakan operasi 24 jam selama dua minggu sebelum dan selepas perayaan. Jadi, kita akan mempergiatkan operasi kita banteras kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini di semua terminal di seluruh Semenanjung Malaysia," kata Che Husni pada sidang media di sini malam tadi.
Beliau menambah SPAD akan melaksanakan operasi sama di lokasi lain bagi mengekang kegiatan pemandu teksi dan bas yang mengambil penumpang luar.
Salah seorang ‘ulat tiket’ yang ditahan adalah wanita warganegara Indonesia.
Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 25 tahun hingga 53 tahun.
Mereka didakwa di bawah seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Jika sabit kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sejak Oktober tahun lalu, sejumlah 205 ‘ulat tiket’ berjaya ditahan SPAD termasuk 95 di Pudu Sentral.