10 lagi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan dibawa pulang
Bernama
Oktober 22, 2022 17:41 MYT
Oktober 22, 2022 17:41 MYT
PUTRAJAYA: Seramai 10 lagi rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air semalam.
Menerusi satu kenyataan hari ini, Wisma Putra memaklumkan kesemua mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 11.50 malam tadi dengan menaiki pesawat AK535 dan diserahkan kepada pihak polis bagi membantu siasatan.
Setakat semalam, 313 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan berjaya diselamatkan dari Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.
Daripada jumlah itu, 255 orang telah dihantar pulang manakala baki 58 lagi masih ditahan di depoh tahanan imigresen negara-negara berkenaan sementara menunggu proses pengusiran.
Wisma Putra turut merakamkan penghargaan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh dan kerajaan Kemboja yang terus mengambil tindakan proaktif bagi menyelamatkan dan mempercepat urusan penghantaran pulang mangsa.
"Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia dan agensi-agensi kerajaan negara-negara berkenaan akan terus bekerjasama dan menggiatkan usaha bagi menangani isu sindiket jenayah ini," menurut kenyataan itu.
Wisma Putra mengingatkan rakyat Malaysia supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran pekerjaan yang diterima terutama melalui media sosial bagi mengelak mereka daripada menjadi mangsa sindiket berkenaan.
-- BERNAMA