10 kenderaan rosak dihempap bumbung PPR

Astro Awani
Oktober 1, 2019 00:25 MYT
Insiden berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang sejak pukul 5 petang. - Foto Astro AWANI
Kira-kira 10 kenderaan rosak teruk apabila dihempap bumbung yang ditiup angin dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang Setapak, di sini petang Selasa.
Insiden berlaku ketika hujan lebat dan angin kencang sejak pukul 5 petang.
Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Awam Desa Rejang Mohd Noor Mohd Tahir, bumbung terbabit dipercayai dari tingkat 19.
“Kami berkumpul dengan segera daripada persatuan penduduk dan komuniti setempat dan juga dapatkan bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta pihak polis yang tiba sama dengan unit bantuan kecemasan DBKL untuk sama-sama membantu,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati dua buah rumah turut terjejas kerana kebocoran.
Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad turut meninjau lokasi kejadian.
Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Setapak turut ke lapangan bagi mengangkat bumbung yang terjatuh di atas kenderaan.
#Ahli Parlimen Setiawangsa #Angkatan Pertahanan Awam Malaysia #DBKL #dihempap bumbung #Nik Nazmi Nik Ahmad #PPR Desa Rejang Setapak #Projek Perumahan Rakyat
;