10 kenderaan rosak dalam kejadian hujan lebat, angin kuat di Seksyen 13 Shah Alam

Bernama
Januari 27, 2022 20:23 MYT
Mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian.- Foto PDRM
SHAH ALAM: Sepuluh kenderaan dilaporkan rosak susulan hujan lebat dan angin kuat yang melanda kawasan Seksyen 13, dekat sini petang tadi.
Pengarah Bomba Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan laporan berkenaan sebatang pokok telah tumbang dan menghempap dua kenderaan di persimpangan lampu isyarat Politeknik Premier Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 5 petang tadi.
Norazam berkata bagaimanapun mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan bomba di lokasi kejadian.
"Kami menggerakkan enam anggota ke lokasi untuk memastikan keselamatan dan memotong pokok yang tumbang di tempat kejadian. Operasi masih diteruskan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Norazam berkata pihaknya turut menerima satu lagi laporan, lapan kenderaan didapati rosak ekoran bumbung tempat letak kenderaan sebuah pasar raya di kawasan itu diterbangkan angin kencang.
"Namun tiada mangsa yang cedera dalam kejadian yang berlaku sekitar 5 petang tadi," katanya.
-- BERNAMA
#ribut Shah Alam #Pengarah Bomba Selangor #Norazam Khamis #Seksyen 13 Shah Alam
;