Dengan berakhirnya perlawanan Kumpulan H antara Russia dan Korea Selatan semalam maka lengkap sudah 16 perlawanan pertama bagi 32 pasukan yang bertanding dalam Piala Dunia 2014 kali ini.

Daripada lima hari perlawanan pertama yang berlangsung antara 13 Jun hingga semalam, banyak kejutan dan juga situasi menarik yang berlangsung sepanjang aksi perlawanan pertama pasukan yang bertanding.

Rangkuman 10 kejutan dan aksi menarik yang berlaku sepanjang perlawanan pertama setiap kumpulan dari 13 Jun hingga 18 Jun.

1. Piala Dunia dibuka dengan jaringan gol sendiri

Ketika perlawanan pembukaan antara tuan rumah Brazil dan Croatia, Brazil dikejutkan dengan jaringan pembukaan Croatia yang dihasilkan akibat kesilapan pertahanannya Marcelo yang tertampan ke gawang sendiri selepas cuba menahan hantaran pemain Croatia, Ivica Olic.

Jaringan gol sendiri itu merupakan yang pertama dalam sejarah perlawanan pembukaan melibatkan Brazil.

Jurulatih

2. Juara dunia dimalukan Belanda

Sepanyol yang tiba di Brazil berbekalkan reputasi sebagai Juara Piala Dunia 2010 secara tiba-tiba menjadi sebuah pasukan ‘budak sekolah’ apabila tewas 1-5 kepada Belanda dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B.

Malah, ledakan beberapa jaringan cantik dari dua ayam tambatan Belanda, Robin van Persie dan Arjen Robben menambahkan lagi parah kekalahan tersebut.


3. Costa Rica kejutkan Uruguay

Bekas Juara Piala Dunia pada 1930 dan 1950, Uruguay tampil dalam kejohanan kali ini dibarisi dengan pemain-pemain yang bermain di luar negara itu dan diperkuatkan juga pemain terbaik Liverpool, Luis Suarez dan penyerang Paris St Germain, Edinson Cavani.

Namun, reputasi Uruguay itu tidak sedikit pun menggentarkan sebuah negara kecil di kawasan Amerika Tengah, Costa Rica apabila dengan mudah menundukkan pasukan tersebut dengan kemenangan 3-1.


4. Teknologi garisan gol tentukan gol kedua Perancis

Ketika penggunaan teknologi garisan gol dalam Piala Dunia masih menjadi persoalan semua pihak, gol dari penyerang Perancis, Karim Benzema ketika menentang Honduras dalam perlawanan pertama Kumpulan E telah membuka mata penggemar bola sepak apabila jaringan itu terpaksa ditentukan melalui penelitian teknologi garisan gol.

Sepakan Benzema pada mulanya terkena tiang gol Honduras sebelum melantun kembali ke penjaga gawang Honduras, Noel Valladares namun tangkapan yang kurang kemas menyebabkan bola tersebut telah melewati ke dalam pintu gol sebelum ditarik semula dengan segera oleh Valladares.

Penelitian selepas itu mendapati bola itu telah memasuki gawang dan gol diterima namun tidak dihadiahkan kepada Benzema sebaliknya disahkan sebagai gol sendiri Valladares.


5. Bosnia-Herzegovina buka ‘akaun’ gol Piala Dunia

Bosnia-Herzegovina merupakan satu-satunya pasukan yang layak buat kali pertama di pentas Piala Dunia semenjak mencapai kemerdekaan daripada Yugoslavia pada 1992 maka jaringan sendiri Sead Kolasinac ketika menentang Argentina pada perlawanan pembukaan Kumpulan F merupakan jaringan ‘pertama’ dari seorang pemain negara Balkan tersebut di pentas Piala Dunia.

Namun, gol rasmi Piala Dunia bagi Bosnia-Herzegovina hanya muncul akhir perlawanan apabila pemain gantian, Vedad Ibisevic berjaya menewaskan penjaga gol Argentina, Sergio Romero untuk gol pertama negara itu. Bosnia-Herzegovina bagaimanapun tewas 1-2 kepada Argentina dalam perlawanan itu.

6. Jerman mengganas belasah Portugal

Piala Dunia 2014 kali ini sememangnya menampilkan banyak kejutan ditambah dengan perlawanan antara pasukan-pasukan berprestasi tinggi dan selain perlawanan antara Sepanyol-Belanda dan Itali-England, perlawanan antara Jerman dan Portugal dalam perlawanan pertama Kumpulan G turut ditunggu peminat bola sepak.

Jerman yang turun dengan barisan pemain yang kebanyakkannya pernah bermain pada edisi Piala Dunia lalu dilihat tidak mempunyai masalah menguasai hampir keseluruhan dengan hantaran-hantaran menarik dan penguasaan bola yang kemas.

Buktinya,pemain Portugal gagal melancarkan serangan yang diharapkan melalui perancang utamanya, Cristiano Ronaldo dan Jerman menang besar 4-0.


7. Thomas Muller jaring hatrik pertama Piala Dunia 2014

Penyerang Jerman itu menjaringkan hatrik pertamanya dalam Piala Dunia ketika membenam Portugal dalam perlawanan pembukaan Kumpulan G dan sekaligus mendahului senarai penjaring gol pIala Dunia 2014.

8. Gol terpantas Clint Dempsey kejutkan Ghana

Penyerang Amerika Syarikat, Clint Dempsey mencatatkan sejarah apabila menjaringkan gol terpantas dalam Piala Dunia ini ketika menentang Ghana dalam perlawanan Kumpulan G.

Permainan yang baru menjejak 30 saat disudahkan tendangan menarik Dempsey menewaskan penjaga gol Ghana, Adam Kwarasey dan Amerika Syarikat menang perlawanan tersebut dengan kemenangan 2-1.

Gol Clint Dempsey itu berada di tempat kelima rekod jaringan terpantas Piala Dunia.

9. Pesta kad merah

Sepanjang tempoh tiga hari antara 14 Jun hingga 16 Jun, tiga pemain dilayangkan kad merah dalam tiga perlawanan yang berbeza. Pertahanan Uruguay, Maxi Pereira menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah pada PIala Dunia ini kerana sengaja membentes penyerang Costa Rica, Joel Campbell ketika pasukan Uruguay tewas 1-3.

Hari berikutnya pula, pertahanan Portugal, Pepe diperintah keluar padang selepas menghantukkan kepalanya ke penyerang Jerman, Thomas Muller dan pemain tengah Honduras, Wilson Palacios pula diberikan kad merah selepas mengutip dua kad kuning akibat melakukan kekasaran semasa perlawanan menentang Perancis.

Cristiano Ronaldo

10. Cristiano Ronaldo masih gagal cipta nama sebagai penjaring

Disaat-saat rangkaian pemain-pemain terbaik dunia seperti Neymar, Lionel Messi, Thomas Muller, Robin van Persie, Arjen Robben dan Karim Benzema sudah mencatatkan nama sebagai penjaring gol dalam Piala Dunia 2014 ini, Cristiano Ronaldo masih tercicir dalam saingan Anugerah Kasut Emas Penjaring Terbanyak.

Reputasi sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA Tahun 2013 nampaknya gagal diterjemahkan dalam Piala Dunia ini dan peminat Portugal mengharapkan pemain tersebut mampu menghadiahkan sesuatu kepada negara tersebut pada perlawanan kedua negara itu.