10 hari terindah, umrah Ramadan 'DIY' cara wartawan Astro AWANI
Faida Rahim
April 5, 2023 22:00 MYT
April 5, 2023 22:00 MYT
SAYA ingin membuka penulisan artikel ini dengan menzahirkan rasa penuh syukur dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Allah SWT kerana memberi kesempatan buat saya menjejakkan kaki di Tanah Suci pada awal Ramadan kali ini untuk menunaikan umrah,
Tanpa pernah terlintas di fikiran, kunjungan saya bukan sekadar melakukan urusan ibadah secara sendirian atau 'DIY' (do it yoursellf), bahkan, apa yang membuatkan syukur saya berganda ialah perjalanan rohani itu saya itu bersendirian tanpa sesiapa dari tanah air yang menemani.
Ya! Saya sendirian ke Mekah dan Madinah bagi menyahut panggilan menunaikan umrah dan merasai pengalaman berpuasa di salah sebuah kota suci umat Islam itu.
Tidak dinafikan, sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), macam-macam perasaan bersarang di dada.
Takut dan bimbang terutama soal kesihatan dan keselamatan memandangkan umrah kali ini dilakukan secara DIY dan tidak melalui ejen pelancongan.
Bertolak pada 14 Mac lalu, saya selamat tiba di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah sekitar jam 12.30 malam.
Memandangkan tiket menaiki kereta api laju Haramain menuju ke Madinah hanya akan bertolak seawal jam 8 pagi, saya perlu menunggu sekitar lapan jam di lapangan terbang untuk menaiki tren keesokannya.
Dengan masa yang ada, saya berkesempatan mengelilingi dan menikmati suasana lapangan terbang berkenaan sambil menikmati makan lewat malam di restoran makanan segera terkenal di Arab Saudi, Al-Baik.
Memang betul terbaik set hidangan ayam berharga SAR30 (sekitar RM35).
Usai membersihkan diri dan solat Subuh di surau yang tersedia di lapangan terbang, saya menuju ke ruangan menunggu kereta api laju Haramain yang terletak bersebelahan lapangan terbang.
Harga tiket keretapi Haramain menuju Madinah RM150 satu perjalanan.
Untuk ke landasan, perjalanan tidak jauh. Hanya perlu berjalan kaki ke sana dan penumpang perlu scan QR Code di tiket yang disediakan.
Untuk makluman, tiket boleh dibeli secara online di https://www.hhr.sa/home#.
Tepat jam 8 pagi, kereta api laju bergerak ke Madinah. Suasana tenang sekali ketika di dalam perjalanan.
Sepanjang perjalanan, saya meninjau pemandangan indah sambil berselawat ke atas Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW.
Perjalanan dari Jeddah ke Madinah mengambil masa selama sejam 45 minit dan akhirnya saya tiba dengan selamat di stesen Madinah.
Di sana, saya disambut oleh pemandu bernama Haji Farid. Untuk pengetahuan, Haji Farid merupakan rakyat Malaysia yang sudah lama bermastautin di Madinah dan mengambil upah menjemput dan menghantar penumpang untuk ke hotel di bandar itu.
Sekitar 30 minit, kenderaan kami selamat tiba di hadapan hotel Movenpick (kini dikenali sebagai New Madinah Hotel).
Terletak lebih kurang 300 meter dari Masjid Nabawi, kedudukan hotel amat memudahkan perjalanan berjalan kaki ke masjid (masuk menerusi Gate 365).
Subhanallah! Itu saja perkataan yang keluar dari mulut saya sebaik tiba di bumi penuh barakah ini.
Dalam masa sama, saya berasa sebak kerana selepas lima tahun akhirnya saya memperoleh rezeki untuk kembali menjejak kaki ke sini.
Madinah tentu sekali mempunyai tempat yang sangat istimewa dalam hati semua umat Islam khususnya mereka yang pernah menziarahinya.
Justeru, peluang berharga yang ada saya manfaatkan sebaiknya dengan menghabiskan masa duduk di masjid, menunaikan ibadat sebaik mungkin.
Untuk makluman, selepas wabak COVID-19 melanda dunia, aktiviti menziarah makam Nabi Muhammad SAW (Raudhah), para jemaah perlu mendaftar menerusi aplikasi Nusuk.
Alhamdulillah saya berjaya mendapat slot pada malam Jumaat. Para jemaah wanita dikehendaki beratur di Pintu 37 selepas selesai solat Isyak dan dibenarkan masuk mengikut giliran.
Bagi yang tidak berkesempatan untuk masuk selepas Isya memandangkan pintu bagi slot wanita ditutup selepas jam 12 tengah malam, para jemaah boleh beratur di Pintu 32 selepas solat Subuh kerana petugas masjid akan memberi peluang untuk solat berhampiran Raudhah.
Meskipun masjid semakin padat dengan pengunjung, Alhamdulillah saya diizinkanNya menunaikan solat di dalam masjid sehingga hari terakhir berada di sana. Cuma perlu datang lebih awal untuk mendapatkan kedudukan terbaik!
Lima hari berada di Madinah, tiba masanya untuk bergerak ke Mekah.
Untuk ke sana, saya sekali lagi memilih untuk menaiki kereta api laju Haramain.
Perjalanan hanya mengambil masa sekitar 2 jam 45 minit sahaja. Lebih jimat masa berbanding menaiki bas yang memakan sekitar tujuh hingga lapan jam.
Kereta api menuju ke Mekah bertolak pada jam 2.45 petang. Apabila selesai meletak bag, para jemaah boleh mula bermiqat di dalam kereta api.
“Sahaja aku menunaikan haji/umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Taala," demikian lafaz niat ketika kereta api mula bergerak.
Di sepanjang perjalanan juga, kesemua penumpang melaungkan talbiah (Labbaikallah) dengan suara sederhana.
Tiba di stesen Haramain High Speed Railway Makkah, saya disambut pemandu yang merupakan rakyat Malaysia yang bermastautin di Mekah iaitu Haji Wajdi yang membawa saya ke Novotel Thaker.
Cabarannya bermula di sini apabila kedudukan hotel penginapan saya agak jauh dari Masjidil Haram.
Walaupun begitu, syukur pihak hotel menyediakan shuttle bus dari hotel ke masjid, cuma perlu berjalan kaki sekitar 15 minit dari bus stop ke masjid.
Mungkin bagi warga emas, dinasihatkan agar tidak memilih lokasi hotel jauh dari masjid untuk lebih praktikal berulang alik ke masjid sepanjang berada di sana.
Alhamdulillah meskipun Masjidil Haram mula padat dengan jemaah yang datang dari seluruh dunia, saya selesai menunaikan umrah pertama sekitar jam 11 malam.
Suasana masjid malam itu memang meriah. Dari tempat tawaf hingga ke saei’, semua sudut padat!
Meskipun tidak berkesempatan melakukan aktiviti ziarah, saya menggunakan kesempatan masa yang ada untuk beribadat sebaik mungkin.
Alhamdulillah saya bersama jemaah lain juga berkesempatan menunaikan solat Tarawih sebanyak 10 rakaat pada malam 22 Mac di Masjidil Haram.
Walaupun hanya 10 rakaat tetapi bacaan dan alunan suara imam pada malam membuatkan para jemaah mengalirkan air mata.
Terlalu banyak pengalaman yang mahu saya kongsi, namun, saya lebih gembira sekiranya anda juga menyahut cabaran untuk melalui perjalanan indah ini secara peribadi.
Sesuatu yang pasit, saya memperoleh pengalaman 10 hari (masing-masing lima hari di Madinah dan Mekah) yang cukup indah dan akan kekal diingati.
Terima kasih Allah atas peluang ini!
Bagi yang bertanya seronok ke tunai umrah seorang diri secara DIY, saya hanya mampu ingatkan anda semua, jangan sesekali bimbang dan gusar kerana Allah akan tetap pelihara kalian di sana, Insya-Allah.
* Faida Rahim ialah wartawan Astro AWANI.