10 ditahan aktif kumpul kad ATM untuk jadi keldai akaun

Hilmi Malik
Februari 2, 2021 17:57 MYT
Antara barangan yang dirampas daripada sindiket keldai akaun dalam serbuan polis. Foto- PDRM
KUALA LUMPUR: Polis menahan 10 individu berusia 27 hingga 52 tahun dipercayai terlibat dengan sindiket pengumpulan kad mesin juruwang automatik (ATM) bertujuan untuk dijadikan sebagai keldai akaun di sekitar Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata semua mereka yang dipercayai aktif sejak tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada April tahun lalu ditahan dalam serbuan di tiga premis pada 22 Januari lalu.
“Mereka gunakan iklan di Facebook menawarkan sewa bagi kad ATM mangsa sebelum kad tersebut disalurkan kepada sindiket untuk kaut keuntungan.
“Mereka mampu mendapat komisen sebanyak RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap kad ATM yang diserahkan manakala mangsa akan memperoleh komisen sebanyak RM300 hingga RM500,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Eng Lai, kegiatan ini juga mempunyai kaitan dengan sindiket Macau Scam apabila ia terlibat secara langsung dengan taktik tipu menyamar rakan dan juga penipuan jualan atas talian.
Katanya, hasil serbuan terhadap tiga premis tersebut telah berjaya menyelesaikan beberapa kes antaranya 10 kes di Lembah Klang serta 16 kes di negeri-negeri lain.
Polis turut merampas beberapa peralatan sindiket antaranya, komputer riba, telefon bimbit, kad ATM serta buku mengandungi butiran pelanggan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat serta denda.
#sindiket #Macau Scam #ATM #keldai akaun #Sentul #Beh Eng Lai #polis #ditahan
;