10 cedera jambatan gantung di pusat rekreasi terputus
Muhafandi Muhamad
Mac 19, 2021 20:13 MYT
Mac 19, 2021 20:13 MYT
KOTA BHARU: Seramai 10 pengunjung Lata Keding, Bukit Kudung di Jeli dekat sini, cedera apabila jambatan gantung setinggi 4.5 meter yang dilalui mereka terputus petang Jumaat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata dalam kejadian jam 2 petang itu, semua mereka dihantar ke Hospital Jeli untuk rawatan.
Katanya, siasatan awal mendapati jambatan gantung tersebut masih dalam pembinaan dan pihak pengurusan telah meletakkan notis amaran melarang pengunjung menggunakannya.
"Jambatan berkenaan masih dalam pembinaan dengan lima puluh peratus siap.
"Pengusaha pusat rekreasi berkenaan sudah pun menampalkan notis pemakluman jambatan dalam pembinaan namun pengunjung tidak menghiraukan notis berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, pada Jumaat.
Menurut Shafien lagi, jambatan sepanjang kira-kira 40 meter berkenaan dibina sebagai tarikan di pusat rekreasi itu.
Beliau menjelaskan selain siasatan kejadian, pihaknya juga turut menjalankan siasatan sama ada pengunjung dan pengusaha pusat rekreasi berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
#jambatan gantung
#terputus
#pengunjung cedera
#dalam pembinaan
#Degil
#tidak hirau notis
#polis
#Hospital Jeli
#Lata Keding