10 beranak bersyukur tidak perlu lagi berhimpit dalam rumah dua bilik

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 21, 2021 20:29 MYT
Azean Yusof (dua dari kanan) menerima replika kunci rumah daripada Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Turut kelihatan suami Azean, Azahari Md Zain (kiri).
KEPALA BATAS: Sebelum ini 10 beranak dari Kampung Baharu, Pinang Tunggal, di sini terpaksa hidup dalam kediaman yang serba daif dan tidak selesa berikutan keadaan rumah yang sempit.
Namun, kekurangan dilalui mereka selama ini berubah apabila memperoleh sebuah kediaman yang lebih selesa selepas menerima rumah baharu di bawah program ‘Baiti Jannati’ Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut Azean Yusof, 43, kediaman yang mempunyai dua bilik tidur itu terlalu sempit untuk didiami mereka 10 beranak.
Bahkan, apa yang turut membuatkan keadaan huru-hara apabila kesemua mereka termasuk lapan orang anaknya yang berusia antara 13 hingga 25 tahun terpaksa berebut giliran menggunakan satu-satunya bilik air terutama pada waktu pagi.
Selain itu, Azean berkata, rumahnya turut mengalami kerosakan terutamanya di bahagian pintu dan tingkap.
Keadaan itu menyebabkan kehidupan keluarganya kurang selasa dan selamat berikutan kerap menerima ancaman babi hutan dan anjing liar.
“Kami ramai bilik air ada satu, selalunya berebut pada sebelah pagi dengan waktu Maghrib dan Subuh, berebut masing-masing nak mandi, mana nak ambil air wuduk.
“Keadaan rumah memang kecil (menyebabkan) anak lelaki tidur di luar (ruang tamu), anak perempuan saja tidur dalam bilik,” kata Azean.
Azean yang menjual kuih-kuih tradisional berkata, dia dan suaminya, Azahari Md Zain, 58, yang bekerja sebagai pengutip buah kelapa sawit tidak mampu membaiki keseluruhan rumah mereka kerana memerlukan perbelanjaan yang besar.
Bagaimanapun, mereka suami isteri sangat bersyukur kerana terpilih dalam program Baiti Jannati itu.
Majlis penyerahan rumah kepada keluarga Azean disampaikan Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pada Ahad.
Sementara itu, Pengurus Besar TNB Pulau Pinang, Azmi Md Yusof memberitahu, program Baiti Jannati kali ini dilaksanakan dengan kerjasama Zakat Pulau Pinang (ZPP), Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Menurut Azmi, program Baiti Jannati memperuntukkan RM50,000 bagi projek pembinaan semula kediaman itu.
Katanya, dalam mengenal pasti penerima bantuan, kriteria utama yang diberi perhatian ialah pemohon terdiri daripada golongan asnaf, penerima bantuan zakat dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Azmi berkata, pihaknya juga sedang mengenal pasti beberapa rumah lagi yang akan dibina di bawah Program Baiti Jainnati di negeri Pulau Pinang.
#10 beranak #rumah yang serba daif #kediaman #rumah #Baiti Jannati #Tenaga Nasional Berhad #TNB #TNB Pulau Pinang #Jabatan Kebajikan Masyarakat #Reezal Merican Naina Merican
;