10 bekas kakitangan fail kes mahkamah terhadap Mara Corporation

Sinar Harian
Februari 24, 2022 07:05 MYT
Mahkamah diberitahu Mara telah memberhentikan pekerja-pekerja tersebut dengan memberi alasan bahawa mereka berlebihan atau 'redundancy'. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Seramai 10 bekas kakitangan Mara Corporation mendakwa pemecatan mereka daripada syarikat adalah menyalahi undang-undang.
Menurut kenyataan media daripada Tetuan Bhavanash Sharma, mengikut Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967, pemecatan anak guam melalui Surat Berhenti Kerja bertarikh 28 Januari lalu adalah tidak adil.
Mereka yang diwakili peguam Bhavanash Sharma memaklumkan, Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah memberhentikan pekerja-pekerja tersebut dengan memberi alasan bahawa mereka berlebihan atau 'redundancy'.
"Pihak berkenaan turut menegaskan bahawa pelantikan pekerja-pekerja oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat (ketika itu), Datuk Badlisyah Abdul Ghani melalui kontrak bertempoh tetap, kononnya tidak dianggarkan dan/atau diluluskan mengikut had kuasa syarikat.
"Atas alasan itu, kesemua bekas kakitangan berkenaan memfailkan kes di Mahkamah Perusahaan," menurut kenyataan itu pada Khamis.
Bhavanash memberitahu, antara relif yang dipohon ialah semua anak guamnya perlu diberi pampasan untuk baki jangka kontrak tetap.
Mahkamah menetapkan 21 Mac depan untuk pengurusan kes.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#MARA #bekas kakitangan #Tetuan Bhavanash Sharma #pekerja diberhentikan
;