10 barangan disenarai dalam skim kawalan harga Ramadan

Bernama
Mei 19, 2017 21:13 MYT
Datuk Seri Hamzah Zainuddin menunjukkan senarai harga dan label barangan terkawal pada sidang media Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 di Sepang, hari ini, 19 Mei, 2017. --fotoBERNAMA
Sebanyak 10 barangan disenaraikan dalam Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 selama 10 hari bermula 22 Mei hingga 31 Mei ini di seluruh negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata barang-barang berkenaan adalah kacang tanah; kacang hijau; telur ayam gred A, B dan C; kelapa biji; kelapa parut; gula pasir putih halus dan kasar serta tepung gandum.
"Skim ini pertama kali dilaksanakan berikutan cadangan orang ramai berhubung kenaikan harga barangan tertentu menjelang bulan Ramadan," katanya.
Katanya skim ini akan berkuatkuasa lima hari sebelum Ramadan dan lima hari semasa Ramadan. Ramadan dijangka bermula 27 Mei ini.
"Skim ini bertujuan menyekat kenaikan harga yang tidak berpatutan dan mencegah amalan mencatut dalam kalangan peniaga menjelang Ramadan dan semasa Ramadan," katanya dalam sidang media pengumuman Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan 2017 di sini, hari ini.
Hamzah berkata skim itu merupakan antara langkah kerajaan mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat.
"Peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal tidak melebihi harga maksimum dan meletakkan tanda harga khas merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barangan lain,"katanya.
Beliau berkata tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan mengikut skim ini di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
Hamzah berkata mereka yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum ditentukan boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
Bagi syarikat yang melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000, katanya.
Individu yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal boleh didenda RM10,000 atau dikompaun RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau kompaun RM10,000.
"Pegawai penguatkuasa akan berada di lokasi- lokasi seperti pasar awam, pasar pagi dan pasar tani untuk pemeriksaan dan pemantauan," katanya.
Hamzah berkata pengguna boleh menyalurkan aduan di talian 03-8009 8000 1 Malaysia One Call Centre sekiranya terdapat peniaga yang tidak mematuhi undang-undang.
Beliau dalam pada itu berkata pihaknya tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga buah kurma kerana makanan kegemaran di bulan Ramadan itu diimport dari beberapa negara.
"Kurma tidak dikawal di bawah Akta Anti Pencatutan. Lagipun ia datang dari banyak negara seperti Sudan, Iran dan Arab Saudi.
"Tetapi KPDNKK akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan untuk memastikan buah kurma selamat di makan," katanya mengulas mesej yang tular di media sosial berhubung kemungkinan kenaikan harga kurma akibat penyakit Corona yang dibawa oleh kelawar di Timur Tengah.
-- BERNAMA
#Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 #barang kawalan #Hamzah Zainuddin #harga #harga buah kurma #penyakit Corona #Ramadan #Skim Kawalan Harga Bulan Ramadan #tanda harga khas merah jambu
;