10 ADUN Kedah dijangka angkat sumpah jawatan Exco Selasa ini

Bernama
Mei 17, 2018 04:55 MYT
Mukhriz beramah mesra dengan para hadirin pada Majlis Berbuka Puasa anjuran Pakatan Harapan Kubang Pasu malam tadi. - fotoBERNAMA
Seramai 10 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dijangka akan mengangkat sumpah jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah, Selasa nanti.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata sebelum istiadat angkat sumpah jawatan berkenaan, setiap anggota akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bagi mendapat perkenan baginda di Istana Anak Bukit di sini, Isnin depan.
Tanpa menamakan anggota berkenaan, beliau berkata barisan exco negeri terdiri daripada empat ADUN PKR, tiga (Amanah), dua (PPBM) dan seorang ADUN DAP.
Selepas majlis angkat sumpah jawatan, mesyuarat exco pertama akan diadakan pada hari berikutnya, katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa PH Kubang Pasu, di sini, malam tadi.
Sementara itu, Mukhriz berkata jawatan Speaker DUN Kedah akan diisi oleh ADUN PKR dan Timbalan Speaker oleh ADUN PPBM.
"Saya merasakan pelantikan barisan Exco ini tidaklah lambat seperti didakwa pihak tertentu dan ia tidak perlu dibuat secara tergesa-gesa," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ada menemuinya baru-baru ini dengan menawarkan semula jawatan Presiden KFA kepadanya.
BACA: Mukhriz sedia jadi presiden KFA jika penyokong mahu
Namun, katanya, beliau akan mempertimbangkan tawaran itu terlebih dahulu supaya tidak bertentangan dengan manifesto PH Kedah bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini untuk menilai semula penglibatan ahli politik dalam KFA.
"Tetapi saya juga kena tengok permintaan dan maklum balas rakyat Kedah dan saya masih terbuka dan jika perlu, saya akan menerajui semula KFA," katanya.
Semalam, Timbalan Presiden KFA, Datuk Paduka Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah melepaskan jawatan presiden KFA berkuat kuasa Selasa lepas.
Berikutan itu juga, Setiausaha Kehormat, Datuk Aminuddin Omar serta Bendahari KFA, Datuk Yusof Ismail turut menghantar surat peletakan jawatan masing-masing Rabu lalu.
-- BERNAMA
#Ahmad Bashah Md Hanipah #angkat sumpah #bola sepak #exco Kedah #Kedah #Manifesto #Menteri Besar Kedah #Mukhriz Mahathir #Pakatan Harapan #Presiden KFA #Speaker DUN #Sultan Kedah
;