10,681 calon SPM 2021 tidak hadir - Lembaga Peperiksaan
Bernama
Jun 16, 2022 22:38 MYT
Jun 16, 2022 22:38 MYT
KUALA LUMPUR: Hanya seramai 10,681 calon tidak hadir untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021, demikian menurut Lembaga Peperiksaan (LP).
LP, dalam kenyataan hari ini, menjelaskan seramai 9,037 orang (2.30 peratus) yang tidak hadir terdiri daripada calon sekolah Kementerian Pendidikan, sekolah agensi kerajaan, sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta dan calon sekolah menengah agama rakyat.
Selain itu, LP memaklumkan,1,644 atau 0.42 peratus adalah calon persendirian.
"LP berharap penjelasan ini dapat memberi gambaran sebenar berkenaan jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2021," menurut kenyataan itu.
Terdahulu dalam sidang media keputusan SPM 2021 hari ini, Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Nor Zamani Abdol Hamid berkata terdapat 24,941 calon tidak menduduki peperiksaan itu daripada 407,097 calon yang berdaftar.
Bagi tujuan analisis keputusan SPM 2021, hanya 392,837 daripada 407,097 calon berdaftar diambil kira untuk tujuan analisis keputusan peperiksaan itu.
LP menjelaskan 392,837 calon itu adalah mereka yang mendaftar kali pertama dan mendaftar sekurang-kurangnya enam mata pelajaran.
"Daripada jumlah tersebut, seramai 382,156 atau 97.28 peratus calon sekolah dan calon persendirian hadir menduduki peperiksaan," menurut kenyataan itu..
-- BERNAMA