10.6 juta penerima BPN 2.0 bakal terima bayaran fasa pertama 26 Oktober ini

Faris Danial Razi
Oktober 16, 2020 20:56 MYT
Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion akan disalurkan kepada 10.6 juta penerima BPN sedia ada secara berperingkat bermula 26 Oktober ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion akan disalurkan kepada 10.6 juta penerima BPN sedia ada secara berperingkat bermula 26 Oktober ini.
Menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pecahan bayaran fasa pertama BPN 2.0 berjumlah RM4.8 bilion bagi kategori pertama penerima adalah isi rumah B40 yang akan menerima RM1,000 sementara RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang.
“Untuk kumpulan ketiga adalah 1.4 juta isi rumah M40 yang akan menerima RM600 sementara 1.7 juta kumpulan M40 bujang akan menerima RM300.
“Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung Oktober dan keduanya pada Januari 2021.
“Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada Januari 2021 adalah sebanyak RM300,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
BPN 2.0 adalah sebahagian daripada kerangka inisiatif tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 23 September lalu.
Sementara itu, Tengku Zafrul mengumumkan bahawa permohonan baru BPN 2.0 dibuka mulai 15 Oktober sehingga 15 November 2020.
“Ia bagi membantu golongan yang belum pernah menerima BPN sebelum ini, termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan terhadap status pendapatan ekoran COVID-19.
“Tempoh permohonan baharu BPN 2.0 dibuka dari 15 Oktober 2020 sehingga 15 November 2020.
“Bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan atas permohonan baharu akan dibuat dalam kadar segera.
“Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekaligus pada bulan Januari 2021,” jelasnya lagi.
#Menteri Kewangan #bayaran fasa pertama #permohonan BPN 2 0 #ekonomi #COVID-19 #bantuan BPN #BPN #Bantuan Prihatin Nasional #Tengku Zafrul #PRIHATIN
;