10,000 meriahkan Program Semarak Taiping 150, kembali fenomena lima dekad

Aida Aziz
Januari 1, 2024 09:40 MYT
Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, sambutan itu antara yang terbesar pernah dianjurkan sejak kali terakhir diraikan 50 tahun lalu. - Foto Astro AWANI
TAIPING: Kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Warisan di sini bagi memeriahkan Program Semarak Taiping 150 malam tadi.
Acara berkenaan antara pengisian dianjurkan bagi meraikan sambutan Ulang Tahun ke-150 Bandar Taiping pada tahun 2024.
Hadirin bukan sahaja disajikan pelbagai persembahan kebudayaan berbilang bangsa, tetapi juga dengan perarakan 31 agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pancaragam sekolah.
Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh berkata, sambutan itu antara yang terbesar pernah dianjurkan sejak kali terakhir diraikan 50 tahun lalu.
"Program sebegini antara yang terbesar dalam lima dekad lalu, iaitu pada tahun 1974 apabila meraikan ulang tahun ke-100 bandar warisan Taiping, kita ada program dan perarakan besar-besaran.
"50 tahun kemudian, apabila kita bakal sambut ulang tahun ke-150, kita bawa semula suasana fenomena yang ramai pernah rasai 50 tahun lalu.
"Taiping merupakan bandar paling lama di Malaysia. Selain jangkau usia 150 tahun pada 20 Jan 2024, ia juga meraikan 33 yang pertama di negara ini.
"Tiga puluh tiga yang pertama itu termasuk Padang Esplanade, penjara, muzium dan banyak lagi yang boleh dibanggakan ada di sini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Semarak Taiping 150 malam tadi.
Pada 20 Jan 2024, genap ulang tahun ke-150 Taiping yang ditubuhkan menerusi Perjanjian Pangkor 1874.
Dengan termeterai perjanjian itu, nama Klian Pauh ditukar kepada Taiping yang asalnya perkataan Cina iaitu 'Tai-Peng', bermaksud aman selama-lamanya.
Sementara itu, pengunjung yang ditemui, Edmund Raj Anndi berkata, usia 150 tahun bandar warisan itu boleh menjadi penanda aras terbaik dalam memastikan bangunan ikonik dipulihara sebaiknya.
"Kita dapat lihat kerajaan giat membangunkan tempat ikonik di sini, bagaimanapun saya berharap bangunan bersejarah yang penting dijaga dengan baik. Apa pun kita nampak sudah banyak perubahan positif dari segi kedatangan pelancong ke Taiping," katanya.
Sementara itu, Grace Ng yang merupakan anak kelahiran Taiping berkata, dia berharap bandar ini dapat menyediakan peluang kerja lebih baik, di samping membangunkan ekonomi penduduk.
Dia yang kini menetap di Pulau Pinang turut berharap Taiping dapat membangun seiring dengan kekayaan dan sejarah warisannya.
Ranie Khairudin pula berkata, masih ada bangunan warisan yang dipandang sepi dan tidak dinaik taraf.
"Saya dan suami asal Sarawak dan sudah 10 tahun menetap di sini atas faktor kerja. Bagi saya Taiping ada kelainan tersendiri, dari segi cuaca dan landskap.
"Cuma kalau boleh Zoo Taiping perbaiki perkhidmatan dan jenis haiwan kerana baru-baru ini saya pergi didapati tak banyak yang ada dan kurang menarik untuk pengunjung," katanya.
#Taiping #Ulang Tahun ke-150 #Program Semarak Taiping 150 #Wong Kah Woh
;