10,000 liter minyak sawit tumpah di lebuh raya
Abd Razak Mohd Ali
Mac 20, 2020 11:18 MYT
Mac 20, 2020 11:18 MYT
Kira-kira 10,000 liter minyak sawit tumpah selepas sebuah lori kontena dipercayai terlanggar belakang sebuah lori tangki muatan minyak sawit di Kilometer 290 Lebuh Raya Utara Selatan di sini, pagi ini.
Kemalangan berhampiran lay by Simpang Pulai arah utara itu berlaku kira-kira jam 5.30 pagi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima maklumat mengenai kemalangan itu pada 5.44 pagi.
Katanya, terdapat seorang pemandu lori cedera dan telah dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital berhampiran.
Kemalangan telah menyebabkan berlaku kebocoran pada lori tangki minyak sawit itu.
Anggota bomba menggunakan dua aliran hos 200 kaki dari jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai dan dua lagi aliran 200 kaki dari air tangki jentera BBP Gopeng.
Katanya, anggota menjalankan operasi pembersihan tumpahan minyak yang mengalir sejauh satu kilometer.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan Mohamad Norman tamat pada 7.50 pagi.
#bomba
#Gopeng
#JBPM Perak
#kebocoran
#kemalangan
#Lebuh Raya Utara Selatan
#lori kontena
#lori tangki
#minyak sawit
#simpang pulai
#tumpahan minyak