10,000 bekas bubur lambuk diedar di Parlimen Tambun

Abd Razak Mohd Ali
Mac 25, 2024 18:00 MYT
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang. - Foto Astro AWANI
IPOH: Sebanyak 10,000 bekas bubur lambuk diedarkan kepada orang ramai sempena Program Gerak Rahmah 2024: Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan Parlimen Tambun di Dewan KRT Taman Meru, Ipoh pada Isnin.
Program anjuran Kementerian Perpaduan Negara itu dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Aaron Ago Dagang dalam kenyataannya berkata, seramai 450 peserta terlibat di dalam gotong royong untuk memasak 30 periuk bubur lambuk sejak awal pagi.
Menurutnya, para peserta terdiri daripada 20 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Parlimen Tambun di samping 10 agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Pelaksanaan program itu di bawah Kluster Komuniti Rahmah adalah selaras dengan komitmen Kementerian Perpaduan Negara dalam memperkasa rukun tetangga sebagai penggerak dan pengantara penting penganjuran program komuniti, kesukarelawan dan kenegaraan di peringkat akar umbi.
Menurut Aaron Ago Dagang, kerajaan sentiasa berusaha untuk memelihara dan merekayasa perpaduan di peringkat komuniti sebagai pelonjak pembangunan dan pembangunan negara.
Pada majlis itu, Perdana Menteri bersama-sama beberapa pemimpin yang hadir turut membantu memasak bubur lambuk.
Beliau kemudiannya menyampaikan sumbangan 150 Kotak Rahmah dan kerusi roda kepada kumpulan yang memerlukan.
Pada 23 Mac lalu, sempena dengan program Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan, sebanyak 600,000 bekas bubur lambuk diagihkan oleh warta KRT seluruh negara.
Susulan itu, Kementerian Perpaduan Negara juga akan melaksanakan Program Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela (SRS) serta Jom Bersih dan Indah di seluruh negara tahun ini sebagai usaha mengukuhkan nilai kebersamaan di peringkat komuniti.
#Jom Masak Bubur Lambuk Perpaduan #Anwar Ibrahim #parlimen tambun #Aaron Ago Dagang
;