10,000 banduan layak isi kekosongan kerja warga asing - Hamzah
Umavathi Ramayah
Mac 22, 2022 11:05 MYT
Mac 22, 2022 11:05 MYT
KAJANG: Kira-kira 10,000 banduan yang layak akan menjalani program Sistem Parol, Pelepasan Banduan Secara Lesen dan Program Reintegrasi Penghuni sebagai alternatif bagi menangani masalah kesesakan di penjara.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, 80 peratus daripada mereka akan ditempatkan dalam industri dan diyakini dapat mengisi kekosongan tenaga kerja yang menggunakan warga asing.
Dengan langkah itu, katanya, kerajaan mampu menjimatkan kos pengurusan penjara sebanyak RM182 juta setahun.
“Kementerian amat yakin sasaran ini akan dapat dicapai berdasarkan kepada pencapaian melebihi 7,000 banduan menjalani Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada 2021.
“Melalui peluang yang diberikan di dalam komuniti, didapati 99.63 peratus daripada mereka berjaya dan tidak lagi mengulangi kesilapan serta kembali semula ke penjara,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Penjara Ke-232 di Penjara Kajang di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Hamzah menegaskan, kementerian tetap komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan terus diutamakan.
Katanya, kerajaan akan terus meningkatkan keupayaan sumber manusia Jabatan Penjara bagi memastikan sistem penyampaian dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Menurutnya, sebanyak 347 pegawai dan anggota penjara perjawatan baharu telah diluluskan bagi meningkatkan keupayaan jabatan dalam melaksanakan PDK.
“Jabatan Penjara juga akan memperluaskan Pejabat Parol Daerah kepada 100, berbanding 52 pada masa ini.
“Ini akan meningkatkan lagi keupayaan jabatan memperluaskan program-program pemulihan kepada banduan di seluruh negara," katanya.
Hamzah pada masa sama mengucapkan syabas kepada Jabatan Penjara atas segala usaha dan inisiatif yang diambil setakat ini dalam usaha ke arah mencapai dua pertiga penghuni penjara menjalani PDK menjelang 2030.