1 Rumah 1 Jalur Gemilang semarakkan sambutan Bulan Kebangsaan

Pia Ernadya
Mei 19, 2024 19:52 MYT
Fahmi berkata usaha mengibarkan Jalur Gemilang perlu bermula dari rumah, yang menjadi tempat paling selamat untuk diduduki keluarga. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini dengan menggalakkan orang ramai mengibarkan bendera selaras aspirasi '1 Rumah 1 Jalur Gemilang' (1R1JG).
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata usaha mengibarkan Jalur Gemilang perlu bermula dari rumah, yang menjadi tempat paling selamat untuk diduduki keluarga.
Menurutnya, perkara ini penting, kerana Jalur Gemilang merupakan simbolik kemerdekaan dan perpaduan rakyat Malaysia, dan akan dikibarkan pada setiap detik kejayaan yang ditempa di seluruh dunia.
“Saya turut mengingatkan semua pihak untuk mengibarkan Jalur Gemilang yang sempurna, iaitu bendera yang tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh, kerana ia adalah gambaran sebagai warganegara bertanggungjawab dan cintakan negara.
"Inisiatif ini merupakan salah satu pendekatan bagi memastikan usaha untuk menyemarakkan perasaan cintakan negara dapat meresapi rakyat pelbagai peringkat di seluruh negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Ekspresi Bulan Kebangsaan di ibu negara pada Ahad.
Tambahnya lagi, program Ekspresi Bulan Kebangsaan itu, turut dilaksanakan secara serentak di Penampang, Sabah dan Kuching, Sarawak.
Ujarnya, pihaknya turut menerbitkan Kompilasi Lagu Patriotik dan Perpaduan, yang mengandungi 22 lagu yang boleh dimuat turun secara percuma di portal rasmi Merdeka360.
“Saya berharap kompilasi lagu ini, dimanfaatkan di sekolah-sekolah dan Komuniti Madani bersempena Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia, agar kita dapat meraikan suasana itu dengan keadaan aman dan damai serta bersatu-padu, sambil diiringi azam baharu untuk membangunkan negara," katanya.
Fahmi turut menyifatkan penubuhan Komuniti Madani di bawah Jabatan Penerangan (JaPen) itu sebagai barisan hadapan untuk meningkatkan kefahaman mengenai usaha kerajaan dalam memberikan kesejahteraan kepada rakyat.
Beliau berkata ini termasuk usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyat serta pendekatan bagi menangani isu 3R membabitkan fitnah dan berita palsu yang berlaku dalam negara.
"Kita sudah aturkan pelbagai program untuk 1,878 Komuniti Madani ini yang akan dikendalikan oleh pegawai-pegawai daerah, bagi memastikan mesej kerajaan sampai ke peringkat akar umbi," katanya.
#Fahmi Fadzil #ekspresi bulan kebangsaan 2024 #1R1JG #bukan kemerdekaan
;