1 maut, 3 cedera, lori sawit rempuh belakang bas persiaran

Aida Aziz
November 2, 2023 18:51 MYT
Bomba mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada polis bagi tindakan susulan. - Gambar/ JBPM
KAMUNTING: Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera setelah lori muatan kelapa sawit yang dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah bas persiaran di Kilometer 200.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah selatan hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan tersebut turut membabitkan empat lori.
Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung nahas tersebut pada jam 11.33 pagi tadi, seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kamunting bergegas ke lokasi.
"Enam orang penumpang bas persiaran tersebut selamat dan dipindahkan ke bas lain untuk meneruskan perjalanan.
"Kemalangan itu turut melibatkan empat buah lori. Seorang yang menaiki lori tersebut cedera manakala tiga lagi dari lori berlainan selamat.
"Seorang wanita yang menaiki lori sawit disahkan maut di lokasi kejadian, dua lagi dalam kenderaan sama iaitu seorang lelaki dan kanak-kanak perempuan cedera," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Katanya, pihaknya mengeluarkan mangsa dan menyerahkannya kepada polis bagi tindakan susulan, selain itu pemantauan terhadap lori turut dilaksanakan bagi memastikan tiada unsur yang menyebabkan kebakaran.
#kemalangan maut #kamunting #PLUS #bas ekspres
;