1,920 kenderaan dikenakan tindakan JPJ sepanjang Op Tahun Baharu Cina

Nickyson Nyambar
Januari 23, 2020 16:07 MYT
Setakat ini, 15,876 kenderaan telah diperiksa dan 1,920 dikenakan tindakan saman. -Gambar Astro AWANI
Sebanyak 15,876 buah kenderaan diperiksa dalam Op Tahun Baharu Cina yang dijalankan di seluruh negara oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) setakat ini.
Daripada jumlah itu, 1,920 kenderaan telah dikenakan tindakan saman. Manakala, 2,516 pula diberikan notis amaran dan 15 kenderaan pelbagai jenis telah disita.
Kesalahan kenderaan yang terlibat merangkumi pelbagai kesalahan jalan raya termasuk memandu melebihi had, tidak memiliki cukai jalan dan rekod saman.
Dalam operasi yang dijalankan sejak 18 Januari ini, kenderaan berat seperti bas ekspres dan lori diberi lebih perhatian.
Sehubungan itu, pemandu dinasihatkan agar sentiasa berwaspada serta memastikan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain diutamakan.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Shaharuddin Khalid, bagi meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya pada musim perayaan ini, tempoh larangan buat kenderaan berat memasuki lebuh raya dikuatkuasakan bermula hari ini.
“Kita akan adakan tempoh larangan kenderaan berat pada hari ini 23, dan esok 24, serta 27 dan 28 selepas hari Ahad nanti.
Tahun Baharu Cina dua hari, jadi selepas itu kita kena juga buat larangan kenderaan berat untuk memasuki lebuh raya,” katanya.
Tegasnya, sejajar dengan usaha itu pihak JPJ juga akan menugaskan pegawainya untuk menyamar dan memerhatikan gerak geri pemandu serta merekodkan perkara yang dilakukan dalam bas.
Sekiranya terdapat kesalahan, pemandu akan dikenakan tindakan sejurus tibanya di destinasi.
Beliau berkata demikian pada perhimpunan bulanan JPJ selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2020 kepada kakitangan JPJ.
Dalam kesempatan itu juga, beliau turut melancarkan Buku Tadbir Urus ke Arah Kecemerlangan JPJ di Putrajaya pagi tadi.
#Astro Awani #JPJ #keselamatan #Op Tahun Baharu Cina #operasi #perhimpunan #Putrajaya
;