1,805 pemegang SPHM di Pulau Pinang, negeri ketiga tertinggi

Bernama
November 28, 2024 21:20 MYT
Sebanyak 1,805 syarikat di Pulau Pinang memiliki SPHM setakat Oktober 2024 sekali gus menjadikan negeri ketiga tertinggi di Malaysia dari segi jumlah pemegang sijil berkenaan. - Gambar fail/itc.gov.my/
GEORGE TOWN: Sebanyak 1,805 syarikat di Pulau Pinang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) setakat Oktober 2024 sekali gus menjadikan negeri ketiga tertinggi di Malaysia dari segi jumlah pemegang sijil berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata sejak awal Januari hingga Oktober lepas, data pemegang SPHM di negeri itu adalah 61.3 peratus dimiliki oleh syarikat bukan Muslim (bukan bumiputera dan milikan asing) manakala baki 38.7 peratus (697 orang) dimiliki Syarikat Muslim (Bumiputera).
"Peratusan pemegang SPHM bagi syarikat Muslim (Bumiputera) menunjukkan peningkatan ketara hasil usaha giat dijalankan oleh Penang Halal International (PHI).
"Prestasi pensijilan halal dan industri halal di Pulau Pinang terus melonjak dan statistik pemegang SPHM Pulau Pinang meningkat setiap tahun. Pada 2008 terdapat 56 syarikat sahaja memiliki pensijilan halal," katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 dan Usul Anggaran Pembangunan 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata penganjuran Penang International Halal Expo (PIHEX) ke-13 pada 5 hingga 8 Dis ini di Tapak Parkir Gravitas Jalan Baru, Perai mencerminkan komitmen kerajaan negeri bagi merakyatkan industri halal.
Beliau berkata PIHEX 2024 yang melibatkan 200 peserta terdiri daripada usahawan tempatan dan luar negara dengan nilai hasil jualan dijangka mencapai RM1 juta iaitu RM300,000 daripada jualan langsung manakala RM700,000 hasil jualan tidak langsung.
Sementara itu, beliau memaklumkan tiga pembinaan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dimulakan tahun depan melibatkan SAR Madrasah An-Najah, Kampung Selamat Seberang Perai Utara, SAR Nurul Falah Taman Berjaya, Nibong Tebal dan SAR Masjid Bandar Baru Ayer Itam dengan anggaran kos pembinaan berjumlah RM15 juta.
Di samping itu, katanya Sekolah Rendah Islam Masjid Negeri yang dapat memberi manfaat kepada 300 orang pelajar telah siap dibina tahun ini dengan kos keseluruhan RM5.7 juta.
EXCO Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat itu turut memaklumkan kutipan zakat Pulau Pinang dijangka mencecah RM170 juta berdasarkan unjuran kutipan zakat harta dan fitrah pada tahun ini.
"Sejak Januari hingga Oktober 2024, sebanyak 6,892 fakir dan 20,902 miskin dengan jumlah keseluruhan 27,794 telah menerima bantuan zakat melibatkan jumlah peruntukan RM49,152,546," katanya.
-- BERNAMA
#Sijil Pengesahan Halal Malaysia #SPHM #pulau pinang #ketiga tertinggi
;