1,800 perantau pulang beraya di Kelantan negatif COVID-19
Muhafandi Muhamad
Mei 31, 2020 07:13 MYT
Mei 31, 2020 07:13 MYT
Semua ujian saringan yang dilakukan ke atas 1,800 individu rentas negeri yang pulang berhari raya di Kelantan baru-baru ini adalah negatif.
Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, mereka yang masuk ke Kelantan melalui jalan darat atau jalan udara telah disaring.
“Ada lima tempat (pintu masuk) dan juga di lapangan terbang. Setakat ini, sampel semuanya negatif.
"Jadi, tidak berlaku penularan semasa rentas negeri yang masuk dari luar Kelantan. Kita ambil 1,800 sampel,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kesihatan Kelantan turut menjalankan ujian ke atas tahanan di penjara dan di depoh tahanan imigresen.
Hasil ujian ke atas 16 orang tahanan warga asing dan juga 30 tahanan penjara didapati negatif.
Sementara itu, Dr Zaini berkata, seorang ibu mengandung yang pulang untuk bersalin di Kuala Krai menunjukkan tanda-tanda semakin sihat walaupun disahkan positif COVID-19 sebelum ini.
Katanya, ujian baharu akan dijalankan ke atas pesakit berkenaan pada hari ke-13 bagi mengesahkan sama ada ibu berkenaan masih positif atau sebaliknya terhadap wabak berkenaan.
#COVID-19
#depoh
#hari raya
#ibu mengandung
#Imigresen
#Kelantan
#kesihatan
#lapangan terbang
#penjara
#rentas negeri
#saringan
#warga asing
#Zaini Hussin
#zon hijau