1,781 Tabika Perpaduan laksana PdPR

Fauzi Suhaimi
Januari 21, 2021 17:22 MYT
Halimah berkata, kaedah PdPR dilaksanakan adalah secara lancar di seluruh Tabika Perpaduan menerusi dua kaedah berkenaan. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Seramai 35,984 pelajar di 1,781 Tabika Perpaduan (TP) seluruh negara melakukan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas kerajaan menangguhkan operasi pembukaan bersemuka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP2.0).
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, daripada 1,781 buah TP, sebanyak 1,067 daripadanya menggunakan PdPR secara offline manakala 658 Tabika mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
Menurut beliau, kaedah PdPR dilaksanakan adalah secara lancar di seluruh TP menerusi dua kaedah berkenaan.
"Bagi kaedah offline, bahan pengajaran dihantar melalui Google Classroom, aplikasi WhatsApp, Telegram, E-mel dan platform yang sesuai manakala pembelajaran secara dalam talian pula dilakukan secara langsung (real time) menerusi aplikasi Zoom, Google Meet, Webex dan seumpamanya.
"Hanya tiga peratus yang mewakili 56 buah tabika mengikuti pembelajaran secara pendekatan luar talian (off-site) iaitu murid diberi tugasan berkaitan dengan lebih awal secara manual.
"Kaedah secara luar talian (off-site) digunakan apabila terdapat kekangan capaian internet dan ketidakhadiran ibu bapa bersama semasa sesi pembelajaran berlangsung," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Halimah berkata, inisiatif dan kreativiti tenaga pengajar kelas TP dalam pelaksanaan PdPR itu akan sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Jelas beliau, usaha itu melalui latihan dan sokongan peralatan bagi memanfaatkan kemajuan teknologi dan memastikan pembelajaran murid berjalan lancar.
#COVID-19 #pengajaran dan pembelajaran #perintah kawalan pergerakan #kerajaan #pelajar #Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah PdPR #Tabika Perpaduan
;