1,696 pegawai dan anggota bomba dijangkiti COVID-19
Bernama
November 22, 2021 20:30 MYT
November 22, 2021 20:30 MYT
BUKIT MERTAJAM: Seramai 1,696 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dijangkiti COVID-19 dengan dua daripada mereka meninggal dunia sejak pandemik itu melanda negara bermula Mac tahun lepas.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata ketika ini seramai 68 pegawai dan anggota bomba sedang menjalani kuarantin dan menerima rawatan akibat penyakit tersebut.
"Dua yang meninggal adalah pegawai kanan yang bertugas di Sabah dan pegawai lain-lain pangkat berkhidmat di Negeri Sembilan, mereka dijangkiti daripada komuniti bukan ketika sedang bertugas.
"Mereka yang positif juga tidak melibatkan jangkitan dalaman dari balai bomba sendiri sebaliknya jangkitan daripada komuniti, dengan kebanyakannya melakukan kuarantin di rumah kerana tidak mengalami gejala yang teruk," katanya.
Beliau berkata demikan pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Pulau Pinang di sini, hari ini.
Pada majlis itu yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri Saadon Mokhtar, seramai 105 pegawai dan anggota menerima pingat, anugerah perkhidmatan cemerlang dan sijil 30 tahun perkhidmatan.
Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata 98 peratus daripada 14,500 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara telah lengkap divaksin dengan 26 peratus sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19.
Katanya semua pegawai dan anggota bomba memang digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak supaya mereka dapat lebih perlindungan ketika menjalankan tugas terutama semasa membantu mangsa banjir.
"Kita turut menekankan kepentingan mengambil dos penggalak. JBPM sentiasa mengambil berat prosedur operasi standard (SOP) sepanjang menjalankan tugas termasuk pemakaian set pakaian pelindungan diri (PPE)," katanya.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya menubuhkan Skuad Penyelamat Bangunan Tinggi di Kuala Lumpur bagi membantu menyelamatkan mereka yang cuba membunuh diri berikutan peningkatan kes tersebut akibat krisis pandemik COVID-19.
"Skuad ini bukan sahaja dilengkapi alatan khas ketika menyelamat di bangunan, malah pegawai dan anggotanya diberi latihan pengendalian secara fizikal serta psikologi kerana kita perlu 'berlawan' dan memujuk mereka yang mahu membunuh diri," katanya.
-- BERNAMA