1,617 eskalator diperiksa untuk pematuhan standard keselamatan
Bernama
Februari 29, 2016 21:01 MYT
Februari 29, 2016 21:01 MYT
Sebanyak 1,617 eskalator diperiksa untuk tahap pematuhan standard keselamatan dalam Operasi Selamat Penggunaan Eskalator yang dijalankan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) bermula Isnin lepas.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata pemeriksaan mendapati aspek keselamatan pada eskalator mematuhi standard piawaian EN-115-1 yang ditetapkan antaranya 99.4 peratus kemudahan itu dilengkapi 'emergency stop button' atau butang keselamatan berhenti.
Aspek keselamatan lain yang diperiksa seperti 'yellow demarcation line on step' pula mencapai 94.7 peratus manakala 'skirt switch' dan 'skirt deflactor' pula masing-masing 91 dan 92 peratus, katanya.
"Dengan kadar pematuhan yang dicapai, kita percaya kecuaian manusia merupakan faktor utama yang menjurus kepada kemalangan-kemalangan yang berlaku di eskalator sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi tersebut di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah JKKP Datuk Ir Mohtar Musri.
Ismail berkata sebanyak 186 Notis Penambahbaikan dan Surat Arahan kepada pemilik premis atau bangunan bagi meningkatkan tahap penggunaan eskalator, khususnya papan tanda, pemagaran dan peralatan pencegah memanjat dikeluarkan sepanjang operasi dijalankan.
Beliau berkata operasi itu akan diteruskan sehingga kesemua 11,600 eskalator yang berdaftar di bawah JKKP diperiksa.
Berikutan sebahagian besar atau lebih 90 peratus kemalangan di eskalator melibatkan kanak-kanak disebabkan kecuaian manusia, Ismail menggesa ibu bapa memainkan peranan memantau anak-anak dengan lebih ketat semasa menggunakan kemudahan itu.