1.6 juta belia terima manfaat inisiatif Belanjawan Johor 2022
Bernama
November 20, 2021 16:33 MYT
November 20, 2021 16:33 MYT
JOHOR BAHRU: Sebanyak 1.6 juta belia di negeri ini bakal menerima manfaat menerusi inisiatif dalam Belanjawan Johor 2022 yang bertujuan memperkasa pembangunan golongan berkenaan.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata inisiatif kepada belia melibatkan 43.4 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk di negeri ini, merangkumi aspek sukan, kecergasan, sosial, kesenian, kepimpinan dan kemasyarakatan.
Beliau berkata di bawah Agenda Orang Muda Johor (OMJ), Hab Aktiviti Belia dan Tunku Mahkota Ismail Youth Centre (TMIYC) akan diperluas ke daerah Kluang, Pasir Gudang dan Iskandar Puteri selain pembinaan Gim Rakyat pada tahun depan.
"Selain itu, sejumlah RM1.5 juta bakal diperuntukkan menerusi Institut Dato' Onn (IDO) untuk terus memperkasa potensi OMJ (dengan membangunkan) 'One Stop Centre For Youth'.
"Kerajaan negeri juga komited untuk memperkasa peranan Southern Volunteers, Pusat Pembangunan Belia Johor (JOYDEC) melalui peruntukan sebanyak RM1 juta," katanya berucap pada Festival OMJ 2021 (OMJ Fest 21) di TMIYC Johor Bahru hari ini.
Mengulas lanjut, Hasni berkata pelbagai inisiatif berteraskan sukan menerusi penglibatan atlet dan masyarakat juga akan dijalankan dengan peruntukan RM14.5 juta.
Katanya, ia termasuk Program Grit Johor 2030, Program Pembangunan Bakat oleh Majilis Sukan Negeri Johor dan Karnival Sukan Makmur XTIF Johor selain membantu mahasiswa termasuk melalui program Internet Mahasiswa Johor, Skim Bantuan Pendidikan serta latihan dan kemahiran.
"Semangat perpaduan dan kenegaraan dalam kalangan modal insan Johor akan diberi tumpuan dalam inisiatif berkaitan Pemerkasaan Rukun Tetangga, Generasi Muda dan Perpaduan Kaum dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta," katanya.
Untuk rekod pada 2019, dilaporkan kerajaan negeri menetapkan dan mentakrifkan belia dari umur 15 hingga 40 tahun.
Terdahulu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan menyempurnakan OMJ Fest 21 yang bermula hari ini hingga 26 Disember dengan lebih 80 program dan aktiviti diadakan di seluruh Johor dengan menyasarkan kira-kira 100,000 penyertaan golongan belia.
Pada majlis itu, Tunku Ismail turut berkenan melawat pusat operasi pasukan petugas khas COVID-19 Johor di TMIYC bagi meninjau perkembangan semasa situasi wabak berkenaan di negeri ini.
"Semenjak pembentukan jawatankuasa khas ini pada September, Johor berjaya menurunkan bilangan kes positif secara progresif. Saya berharap semua agensi kerajaan, swasta, dan para sukarelawan terus bekerjasama untuk membantu memerangi wabak COVID-19," titah baginda dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA