1,553 unit struktur rangkaian 5G akan dipasang tahun ini - Amirudin
Bernama
Mac 21, 2022 13:49 MYT
Mac 21, 2022 13:49 MYT
SHAH ALAM: Berdasarkan pelan perancangan 5G di Selangor, 1,553 unit struktur rangkaian 5G bagi fasa dua akan dipasang di lima daerah pada tahun ini, dengan 185 unit dipasang di Sepang; 560 di Petaling; 272 di Klang; 345 di Hulu Langat dan 191 di Gombak.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata menurut data laporan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) 28 tapak pemancar berjaya disiapkan tahun lepas bagi pelaksanaan pemasangan fasa 1A di Cyberjaya.
Beliau berkata demikian pada Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini, bagi menjawab soalan Dr Daroyah Alwi (Bersatu-Sementa) yang ingin tahu perkembangan jaringan capaian liputan 5G di Selangor sehingga kini.
Amirudin berkata kerajaan negeri melalui SMARTSEL Sdn Bhd (SMARTSEL) sedang merangka cadangan kerjasama dengan Digital Nasional Bhd (DNB) selaku pembekal rangkaian borong 5G di Malaysia untuk meluaskan infrastruktur perkhidmatan itu di kawasan perindustrian dan komuniti di Selangor.
-- BERNAMA