1,541 penerima JKM Melaka ditamatkan bantuan, bukan zalim tapi ada sebabnya - Exco

Shuhada Abdul Kadir
Julai 26, 2022 15:05 MYT
JKM Melaka kata Kalsom, sentiasa menjalankan tanggungjawab bagi melakukan kaji semula terhadap kelayakan penerima bantuan tersebut.
AYER KEROH: Kerajaan negeri Melaka menafikan penamatan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka kepada 1,541 penerima yang dilakukan sejak Januari lalu bersifat zalim.
Sebaliknya, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan Negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, langkah penamatan itu dibuat dengan penelitian terperinci atas beberapa faktor termasuk meninggal dunia dan ada penerima bantuan yang sudah mampu berdikari sendiri.
“Kita bukan tamat begitu sahaja, kita buat kajian sebenarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan Ketiga Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, di Melaka bagi mereka yang meninggal dunia dan ditamatkan bantuan adalah seramai 794 orang iaitu 51.52 peratus.
Selain itu, penamatan juga disebabkan penukaran skim bantuan contohnya dahulu dia ibu tunggal tetapi sekarang sudah berkahwin iaitu membabitkan 193 orang atau 12.52 peratus, manakala yang sudah mampu berdikari seramai 151 orang.
Mengulas lanjut katanya, JKM Melaka sentiasa menjalankan tanggungjawab bagi melakukan kaji semula terhadap kelayakan penerima bantuan tersebut.
Tambah Kalsom, proses kaji semula sebelum proses penamatan bantuan adalah merupakan satu prosedur yang perlu dilaksanakan bagi semua jenis bantuan mengikut Surat Pekeliling Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.
Bagaimanapun jelasnya, pihak JKM tidak pernah menggunakan proses kaji semula sebagai salah satu cara untuk membuat pemutihan ataupun penamatan bantuan.
Sebaliknya menurut beliau, JKM sentiasa membuat penilaian sama ada seseorang penerima itu masih layak atau tidak untuk bantuan mereka diteruskan berdasarkan peraturan kelayakan-kelayakan semasa yang telah ditetapkan dalam garis panduan permohonan bantuan.
#zalim #jkm #Jabatan Kebajikan Masyarakat #DUN Melaka
;