1,500 unit rumah mesra SMJ dibina di 73 DUN di Sabah

Eleanor Michelle Patrick
April 20, 2022 13:31 MYT
Hajiji hadir pada Majlis Berbuka Puasa bersama pemimpin Bersatu Sabah di SICC, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Geran khas membabitkan jumlah RM125.6 juta untuk Sabah daripada Kerajaan Pusat akan digunakan bagi membina sejumlah 1,500 unit Rumah Mesra SMJ.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek berkenaan yang terdahulu dikenali sebagai Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau (PPRT) akan diagihkan sama rata di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
"Keputusan ini sejajar dengan inisiatif kerajaan melalui Haja Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan memastikan mereka mempunyai akses kepada perumahan mampu milik.
"Lebihan dana daripada peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki jalan raya, jambatan gantung dan infrastruktur lain serta harta benda yang rosak akibat banjir," katanya.
Hajiji berkata demikian dalam satu kenyataan pada Majlis Berbuka Puasa bersama pemimpin Bersatu Sabah, yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Rabu.
Pada minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Hajiji dalam satu kenyataan bersama, menyatakan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk meningkatkan geran khas untuk Sabah sebanyak 4.7 kali, daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bermula tahun ini.
Hajiji berkata, ia merupakan permulaan yang baik untuk Sabah sambil menjamin bahawa peruntukan itu akan digunakan untuk manfaat rakyat dan negeri.
Pada masa yang sama, katanya, kerajaan negeri GRS-BN komited dalam memperjuangkan lebih banyak, menerusi rundingan yang masih berlangsung untuk mendapatkan 40 peratus sebagaimana yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Beliau yang juga Ketua Pimpinan Bersatu Sabah berkata, ini merupakan salah satu daripada banyak kejayaan lain yang telah dikecapi selepas menerintah negeri ini.
#Rumah mesra SMJ #bantuan rumah rakyat #rakyat Sabah miliki rumah #Hajiji Noor