1,500 sukarelawan Indonesia hadir kempen Jokowi di Kuala Lumpur

Bernama
April 7, 2019 05:35 MYT
Penyokong Jokowi mahu jadikan Malaysia penyumbang awal kepada kemenangan Jokowi sempena pilihan raya presiden republik itu. - Gambar fail
Kira-kira 1,500 sukarelawan Indonesia di negara ini, penyokong calon Presiden Joko Widodo diseru berusaha keras menjadikan Malaysia negara penyumbang "gol pertama" memenangkan Jokowi sebagai Presiden bagi penggal kedua dalam pilihan raya republik itu 14 April ini.
Seruan itu dibuat pasukan kempen Jokowi diketuai Sidarto Danusubroto dalam Program Temu Akhbar Relawan Malaysia yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Berucap di hadapan para sukarelawan terdiri daripada rakyat Indonesia yang bekerja dan tinggal di Malaysia, anggota pasukan itu meminta para sukarelawan bekerja keras memastikan kira-kira 1.2 juta pengundi yang mendaftar keluar mengundi memilih gandingan Jokowi dan calon Timbalan Presiden Ma'aruf Amin.
Pengundi2 luar negara akan mengundi pada Ahad depan.
Malaysia merupakan pengundi luar Indonesia yang paling ramai.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Pasukan Kempen Nasional, Laksamana Dr Marsetio dalam ucapannya menyenaraikan pencapaian Jokowi terutama dalam meningkatkan infrastruktur di negara itu termasuk jalan raya serta projek MRT di Jakarta dan LRT di Palembang sebagai bukti kepimpinan beliau dalam membangunkan sosio-ekonomi republik berkenaan.
Bertemakan Radikalisme Sebagai Ancaman Negara Kesatuan Republik Indonesia (NKRI) Pancasila, program hari ini turut disertai Menteri Koordinator Maritim, Jen Luhut Binsar Pandjaitan yang menyampaikan amanat menerusi sidang video.
-- BERNAMA
#Joko Widodo #Jokowi #Pilpres 2019 #politik indonesia #PWTC #sukarelawan indonesia
;