1,500 pekerja butik pengantin di Perak terkesan akibat COVID-19

Abd Razak Mohd Ali
Mei 6, 2020 15:44 MYT
Pengusaha acara perkahwinan menanggung kerugian apabila ramai pelanggan membatalkan majlis dan meminta wang deposit dikembalikan. - Gambar hiasan
Penularan wabak COVID-19 memberi kesan kepada pengusaha perniagaan butik dan pengantin di negeri ini apabila banyak tempahan terpaksa dibatalkan sekali gus menyebabkan mereka berada dalam keadaan tidak menentu.
Ini kerana larangan bagi mengadakan majlis keramaian seperti perkahwinan menyaksikan banyak pasangan mempelai membatalkan tempahan masing-masing.
Situasi yang berlaku ini memberi tamparan ekonomi kepada kira-kira 84 pengusaha yang melibatkan kira-kira 1,500 orang pekerja.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Butik Pengantin Perak, Mohammad Rizal Razali berkata, pembatalan tempahan mula berlaku seawal Mac lalu berikutan penularan wabak berkenaan.
Menurutnya, jumlah itu meningkat apabila pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu.
“Banyak tempahan telah dibatalkan, malah ada pelanggan membatalkan tempahan majlis yang dirancang pada bulan November dan Disember dan meminta wang deposit dikembalikan.
“Ini menambahkan kesukaran kerana tempahan terikat dengan perjanjian mengikut syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Pada masa sama, kita juga faham dengan situasi pelanggan, namun pada masa sama pengusaha pula berhadapan dengan masalah kewangan,” katanya di sini.
Selain memberi kesan kepada pengusaha butik dan pengantin, PKP turut memberi kesan kepada pihak-pihak yang berkaitan seperti katering, butik, jurufoto serta penyedia khemah dan audio.
#COVID19 #larangan #majlis keramaian #pembatalan tempahan #pengusaha #perintah kawalan pergerakan #perniagaan butik dan pengantin #tamparan ekonomi
;