1,500 anggota bomba siap sedia hadapi kemungkinan banjir di Kelantan

Bernama
Oktober 19, 2019 19:10 MYT
Banjir besar yang berlaku pada 2014 di Kelantan akan dijadikan panduan dalam sebarang gerakan menyelamat. - Gambar hiasan
Sejumlah 1,500 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan bersiap sedia menjalankan kerja-kerja menyelamat sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku banjir pada musim monsun Timur Laut yang dijangka bermula dari bulan depan sehingga Mac 2020.
Pengarahnya, Md Salleh Sarbini berkata, di samping itu sebanyak 50 buah bot termasuk dua jenis amfibia yang boleh beroperasi di air dan di darat bagi kawasan yang sukar bagi gerakan menyelamat disediakan untuk mengangkut mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara.
"Banjir besar yang berlaku pada 2014 di Kelantan akan dijadikan panduan dalam sebarang gerakan menyelamat," katanya pada sidang media selepas berucap pada majlis perasmian "Abang Bomba Masuk Universiti" di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, pada Sabtu.
Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Prof Madya Dr Zulkifli Mohamed merasmikan majlis berkenaan yang dihadiri 2,000 pelajar UiTM yang turut menyaksikan demonstrasi mencegah dan memadam kebakaran.
Md Salleh berkata, sebelum ini anggota terbabit telah diberi latihan tahap kecekapan menyelamat di kawasan-kawasan berisiko tinggi termasuk di Jeli dan sepanjang Sungai Kelantan bermula dari Kuala Krai sehingga ke Tanah Merah.
Katanya, selain itu jajahan-jajahan Machang, Pasir Puteh dan Bachok yang sering menghadapi banjir kilat juga diberi perhatian dengan mengarahkan anggota di kawasan terbabit sentiasa membuat rondaan.
Md Salleh berkata, pihak jabatannya membekukan cuti kakitangan pada musim berkenaan bagi mempastikan persediaan menyelamat tidak terbantut dan berada pada tahap terbaik apabila diperlukan pada bila-bila masa .
"Ini perlu kerana kami dapat maklumat dari agensi kerajaan yang berkaitan bahawa Kelantan akan menghadapi empat hingga enam episod hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir, tanah runtuh dan pokok tumbang," katanya.
Sementara itu, Zulkifli berkata, pihak UiTM telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Bencana sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.
Beliau berkata, pihaknya telah memberi panduan terutamanya kepada pelajar yang menyewa rumah di luar kampus tentang bagaimana untuk menyelamatkan diri apabila berlaku banjir di sekitar kawasan kediaman.
Katanya, UiTM yang mempunyai kawasan tinggi dan selamat bersedia membenarkan pihak berkuasa pengurusan banjir peringkat negeri menjadikan UiTM sebagai kawasan pendaratan helikopter bagi kerja-kerja menyelamat dan penghantaran bekalan makanan.
-- BERNAMA
#banjir #bomba #JBPM #kenderaan amfibia #mangsa banjir #mencari dan menyelamat #pusat pemindahan #SAR
;