1.5 juta pengguna dijamin terima air bersih - Pengerusi SPAN

Hasimi Muhamad
Disember 23, 2019 21:01 MYT
Pengerusi SPAN Charles Santiago berkata, penyaluran semula air dibuat selepas ia memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). - Astro AWANI / Shahir Omar
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberi jaminan bahawa 1.5 juta pengguna di Selangor akan menerima bekalan air bersih dan tidak tercemar pada tengah malam ini.
Pengerusinya, Charles Santiago berkata, penyaluran semula air dibuat selepas ia memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ada banyak orang telefon saya dan bila saya berjumpa dengan mereka, mereka minta kita salurkan air walaupun ia air kotor asalkan dapat memenuhi keperluan asas.
“Tetapi ini bukan isu main-main, ini adalah tanggungjawab besar untuk memastikan air yang masuk ke rumah dan air yang keluar dari loji rawatan adalah bersih dan telah disahkan oleh KKM,” katanya.
Justeru jelasnya, pengguna di Selangor tidak perlu bimbang mengenai tahap kualiti air yang dibekalkan.
Beliau berkata demikian susulan pencemaran bau melibatkan sumber bekalan air ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang mengakibatkan gangguan bekalan air berlaku sejak tiga hari lalu.
Sebelum itu, Charles memaklumkan pengguna yang terjejas akibat masalah air di Selangor akan mendapat semula bekalan air selewat-lewatnya tengah malam ini.
#Bersih #Kementerian Kesihatan #kesihatan #Malaysia #Semenyih
;