1.5 juta ekor kelisa bernilai RM78 juta dieksport pada 2023 - DOF

Bernama
April 20, 2024 05:00 MYT
Adnan (kiri) dan Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap (kanan) melepaskan induk ikan kelisa emas pada Program Ramah Mesra Santai dan Program Pelepasan Induk Ikan Kelisa Emas di Santuari Tasik Bukit Merah semalam. - fotoBERNAMA
BAGAN SERAI: Sebanyak 1.5 juta ekor ikan kelisa pelbagai spesies bernilai RM78 juta, berjaya dieksport ke luar negara sepanjang tahun 2023, kata Ketua Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Datuk Adnan Hussain.
Beliau berkata bagi meningkatkan jumlah tersebut, pihaknya akan membantu para pengusaha ikan tersebut untuk mendapatkan permit Konvensyen Mengenai Perdagangan Antarabangsa bagi Spesies Terancam (CITES) yang berperanan dalam memudahkan mereka mengeksport ikan spesis itu keluar negara.
"Antara jenis yang dieksport melibatkan ikan kelisa jenis hibrid, merah, emas, albino dan sebagainya. Permintaan tinggi kita perolehi dari China, Taiwan, Hong Kong dan Jepun.
"Bagi memastikan pengeksportan itu meningkat, kita komited membantu para pengusaha mendapatkan permit CITES namun mereka perlu mengikut garis panduan ditetapkan terutama melibatkan aspek pengurusan," katanya pada pada Program Ramah Mesra Santai bersama Pihak Berkepentingan Santuari Ikan Kelisa Bukit Merah di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, pada program itu, 100 ekor induk ikan kelisa emas bernilai RM150,000 dilepaskan ke dalam Tasik Bukit Merah.
Adnan berkata buat masa ini Perak juga masih mengekalkan status sebagai negeri pengeluar terbesar ikan kelisa emas, untuk pasaran dalam dan luar negara.
"Selain Perak, Johor, Melaka dan Selangor. Jadi keempat-empat negeri ini sahaja yang aktif serta menghasilkan pengeluaran dalam skala besar untuk tujuan pasaran," katanya.
Dalam pada itu, Adnan berkata pihaknya sedang meneliti dan membuat penilaian terhadap Pelan Pengurusan Ikan Kelisa Emas Tasik Bukit Merah, agar ia lebih relevan selain melindungi populasi spesis berkenaan di kawasan tersebut.
"DOF di peringkat negeri juga telah mengambil inisiatif menyenaraikan serta memasukkan terma santuari dan spesies ikan kelisa emas sebagai ikan yang dilindungi di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) Negeri Perak 1992.
"Kaedah tersebut turut menyentuh berkenaan kawalan penangkapan ikan kelisa emas di perairan umum dengan mengehadkan saiz maksimum 15 sentimeter (cm) sahaja yang boleh ditangkap," katanya.
-- BERNAMA
#spesies terancam #jabatan perikanan #ikan kelisa #permit CITES
;