1.5 hektar kawasan pelupusan sampah di Kemaman terbakar

Astro Awani
April 21, 2014 00:22 MYT
Lebih 1.5 hektar kawasan pelupusan sampah di Kemaman terbakar mengakibatkan asap tebal menyelebungi daerah itu. -Foto BERNAMA
Lebih 1.5 hektar kawasan pelupusan sampah milik Majlis Perbandaran Kemaman di Kampung Mak Chili Kemaman, Terengganu terbakar mengakibatkan asap tebal menyelebungi daerah berkenaan.
Ia memburukkan tahap indeks pencemaran udara di kawasan terbabit selepas kawasan belukar seluas 30 hektar berhampiran tapak pelupusan sampah berkenaan terbakar sejak dua hari lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Yahaya Hanafi berkata kebakaran bermula pada jam 5 petang pada Sabtu dipercayai berpunca daripada aktiviti pencari barangan lusuh di kawasan terbabit.
Sebuah jentera bomba bersama 20 anggota yang berusaha mengawal kebakaran berhadapan masalah mendapatkan sumber air.
Angin kencang dan cuaca panas kering menyukarkan lagi usaha untuk mengawal kebakaran manakala bomba terpaksa berulang alik sejauh kira-kira dua kilometer untuk mendapatkan air.
Bomba turut mendapatkan bantuan jengkaut majlis perbandaran kemaman bagi meratakan timbunan sampah.
Dijangkakan kebakaran dapat dipadamkan dalam tempoh seminggu.
Pada 17 Febuari lalu bomba mengambil masa lima hari untuk memadam keseluruhan kebakaran di kawasan pelupusan sampah terbabit.
#Kampung Mak Chili #Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai #Majlis Perbandaran Kemaman #Yahaya Hanafi