1,492 kes curi kabel komunikasi dan vandalisme dilaporkan setakat suku pertama 2024

Bernama
Ogos 1, 2024 12:19 MYT
Pelbagai usaha diambil bersama MCMC, penyedia perkhidmatan, pihak penguat kuasa serta penduduk setempat bagi mengurangkan risiko kecurian kabel menara komunikasi. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,492 kes kecurian kabel menara komunikasi dan vandalisme kemudahan komunikasi di seluruh negara direkodkan sejak 2023 sehingga suku pertama tahun ini, menurut Kementerian Komunikasi.
Kementerian itu berkata pelbagai usaha telah diambil bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyedia perkhidmatan, pihak penguat kuasa serta penduduk setempat bagi mengurangkan risiko kecurian kabel menara komunikasi.
"Pemberi perkhidmatan juga telah menjalankan usaha-usaha memperkasa tapak-tapak menara dengan ciri-ciri anti-curi dan vandalisme, seperti pemasangan sangkar besi atau menggunakan 'bar' yang diperkuatkan bagi melindungi peralatan-peralatan dan kabel di tapak menara.
"Selain itu, terdapat juga menara-menara yang dipasang dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau dan membantu mengurangkan kes kecurian kabel menara serta vandalisme di kawasan-kawasan berisiko tinggi," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.
Ia bagi mejawab soalan Senator Datuk Husain Awang mengenai langkah litigasi dan komitmen kerajaan terhadap isu kecurian kabel komunikasi sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan.
Kementerian Komunikasi berkata penggunaan kabel gentian optik juga berupaya memberikan bandwidth yang lebih tinggi, dan ia tidak mempunyai nilai penjualan semula seperti kabel tembaga.
Selain itu Kementerian Komunikasi berkata pihaknya turut mengadakan beberapa siri libat urus bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui MCMC dan pemain industri bagi membendung isu tersebut.
"Pihak PDRM, MCMC dan pemain industri sentiasa merangka gerak-kerja bagi menjalankan operasi bersepadu melalui aktiviti lawatan ke premis perniagaan atau pengumpulan barang lusuh yang menjadi potensi tempat pelupusan barangan seperti kabel tembaga, bateri dan peralatan elektronik," katanya.
Sementara itu menjawab soalan Senator Abun Sui Anyit mengenai jumlah menara telekomunikasi yang dibina di kawasan Parlimen Julau, Sarawak, kementerian itu berkata 47 menara komunikasi baharu di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di kawasan itu akan dibina dan dijangka siap secara berperingkat menjelang suku keempat tahun depan.
Selain itu 43 stesen pemancar juga telah siap dinaik taraf di kawasan parlimen berkenaan, manakala 678 daripada 3,595 premis yang dirancang telah tersedia dengan capaian gentian optik.
"Di bawah inisiatif SMART 600 pula, 16 menara baharu telah siap beroperasi manakala 27 menara masih dalam peringkat pelaksanaan. Ia dijangka akan beroperasi secara berperingkat menjelang suku keempat 2025," katanya.
Berkenaan pembinaan menara tanpa 'kuali' atau menara yang tiada perkhidmatan internet 4G di Sarawak, kementerian itu menjelaskan satu jalan penyelesaian telah dicapai bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Sarawak Multimedia Authority (SMA).
Kementerian Komunikasi berkata kerajaan Negeri Sarawak melalui SMA dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) sedang melaksanakan inisiatif pembinaan 600 menara baharu (SMART 600) dengan kos RM1 bilion bagi menambah baik liputan internet di Sarawak.
"Kerajaan Persekutuan dan syarikat pemberi perkhidmatan telah bersetuju berkongsi kos pembiayaan bagi operasi menara di bawah inisiatif tersebut untuk tempoh tiga tahun," katanya.
-- BERNAMA
#Curi Kabel #Vandalisme #kabel komunikasi #penyedia perkhidmatan #kementerian komunikasi