1,488 penghuni PPR Taman Bagan Jaya nikmati internet percuma selama 9 bulan

Bernama
Februari 7, 2023 09:00 MYT
Pelaksanaan kerja-kerja Program Jendela@PPR di PPR Taman Bagan Jaya yang melibatkan 382 unit rumah dijangka siap 100 peratus menjelang Mac ini. - Gambar hiasan
BUTTERWORTH: Seramai 1,488 penghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Bagan Jaya, di sini bakal menikmati kemudahan akses Internet percuma selama sembilan bulan, bermula bulan ni.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata penyediaan kemudahan jalur lebar ke setiap PPR itu merupakan satu daripada bidang fokus kementerian dalam menyediakan perumahan yang lebih komprehensif dan berdaya saing.
"Ia meliputi penyediaan kemudahan akses Internet kepada setiap rumah PPR dalam usaha menjadikan perumahan rakyat yang berdaya huni," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan KPKT selepas meninjau penggunaan Internet dalam kalangan penghuni PPR Taman Bagan Jaya di sini, pada Isnin.
Kemudahan Internet jalur lebar secara Direct Internet Access (DIA) ke setiap rumah PPR di 30 skim PPR ditawarkan melalui inisiatif Jendela@PPR yang telah dilancarkan oleh kerajaan pada 2022.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo dan Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff.
KPKT komited meneruskan program Jendela@PPR yang menelan belanja keseluruhan sebanyak RM22 juta demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Program Jendela@PPR merupakan salah satu inisiatif yang menyokong aspirasi kerajaan ke arah negara berpendapatan tinggi, berpaksikan pendigitalan melalui MyDigital dan Revolusi Perindustrian ke-4 (4IR).
"Program Jendela@PPR itu melibatkan 30 projek rintis PPR di seluruh negara meliputi 13,218 unit rumah dan memberi manfaat kepada 53,000 isi rumah kumpulan B40. Ia melibatkan kerja-kerja pemasangan kabel gentian optik, router dan modem serta perkhidmatan Internet berkapasiti 30Mbps di setiap unit rumah," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan PR1MA Communications Sdn Bhd (PR1MA Comm) selaku anak syarikat Perbadanan PR1MA diberi tanggungjawab untuk melaksanakan inisiatif tersebut sebagai Pembekal Perkhidmatan Jalur Lebar bagi memastikan penghuni PPR tidak dipinggirkan dalam arus kemajuan teknologi pada masa kini.
Pelaksanaan kerja-kerja Program Jendela@PPR di PPR Taman Bagan Jaya yang melibatkan 382 unit rumah dijangka siap 100 peratus menjelang Mac ini.
"KPKT akan terus memfokuskan kepada matlamat memperkasakan kualiti perkhidmatan dan penyampaian khususnya aspek perumahan, ia selari dengan aspirasi serta keprihatinan kerajaan dalam mewujudkan perumahan yang selesa dan mampu milik untuk rakyat," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Nga Kor Ming #PPR Taman Bagan Jaya #internet percuma #Jendela PPR
;