1,465 rumah kos rendah, sederhana bantu golongan B40 miliki rumah pertama di Ipoh
Aida Aziz
September 5, 2022 13:06 MYT
September 5, 2022 13:06 MYT
IPOH: Sebanyak 1,465 unit rumah kos rendah dan sederhana akan dibina di bandar raya Ipoh yang memberi fokus dan manfaat kepada golongan B40 memiliki rumah pertama.
Projek pembinaan rumah tersebut merupakan sebahagian daripada memorandum persefahaman (MoU) di antara syarikat pemaju tempatan, Mysuccess Land Sdn. Bhd. dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Datuk Bandar, Datuk Rumaizi Baharin berkata projek yang akan bermula pada hujung tahun itu dapat meningkatkan mutu kehidupan warga Ipoh, dengan memberi keutamaan kepada golongan B40 untuk memiliki hartanah.
Katanya lagi, ia merupakan sebuah projek perumahan kos rendah dan sederhana yang terbesar di Ipoh sejak 15 tahun lalu.
"Tanah seluas 82.53 ekar yang dimiliki oleh pihak syarikat akan menempatkan sebanyak 1,465 unit hartanah kos rendah dan sederhana.
"Pihak syarikat akan memberi komitmen dan keutamaan kepada anggota MBI yang layak untuk memiliki hartanah ini sekali gus merealisasikan keinginan memiliki kediaman sendiri sebagai penghargaan kepada anggota-anggota Majlis.
"Kerjasama ini juga ada kuota untuk warga MBI sebanyak 30 peratus. Diskaun keseluruhan sebanyak RM1.6 juta.
"Staf kita pun masih ramai yang tidak memiliki rumah sendiri. Jadi kita bincang dengan pihak syarikat untuk beri peluang kepada mereka, khususnya menerusi rumah yang bakal dibina ini," katanya.
Jelas Rumaizi lagi, individu yang berminat untuk membeli rumah tersebut boleh mendaftar di Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak (LPHP).
"Mereka perlu daftar dengan LPHP, dan jika semua setuju proses pembelian boleh dibuat.
"Sebab matlamat kita adalah 30 peratus kuota untuk staf MBI dan selebihnya untuk rakyat Ipoh.
"Kita faham ramai lagi rakyat Ipoh tidak memiliki rumah sendiri, jadi kita sediakan rumah dengan harga murah. Sebab sekarang untuk cari rumah teres standard RM180,000 memang susah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Mysuccess Land Sdn. Bhd. dan MBI.
Hadir sama, Pengarah Mysuccess Land Sdn. Bhd. Andrew Chan Wai Hoe.
Sementara itu, Andrew berkata projek perumahan itu akan dibangunkan di Taman Lahat Baru.
Ujarnya lagi, harga rumah kos rendah kira-kira RM90,000 manakala sederhana pula RM180,000.
"Syarat untuk pembelian mengikut yang ditetapkan Lembaga Perumahan Dan Hartanah Perak (LPHP).
"Untuk rumah kos rendah pendapatan isi rumah tidak lebih RM3,000 manakala sederhana pula RM7,000. Syarat utamanya mereka tidak pernah memiliki rumah sebelum ini maksudnya ini rumah pertama.
"Sasaran projek pembinaan bermula pada Disember ini dan siap pada awal 2025," katanya.
Pada majlis itu turut diadakan penyampaian replika cek tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Persatuan Kek Look Seah.
Ia dihadiri oleh Pengurus Besar TNB Perak, Datuk Sharudin Mohd Simin serta Pengerusi Kek Look Seah, Chung Yew Tong.
Program Baiti Jannati CSR Ipoh Smart City merupakan program kerjasama TNB bersama MBI bagi kerja kerja baik pulih rumah untuk asnaf.
Manakala, program CSR bersama pertubuhan Perkuburan Bukan Islam Kek Look Seah bertujuan membantu golongan B40 dalam urusan pengebumian khas untuk orang bukan Islam.