1,294 anggota JBPM Kelantan siap siaga hadapi banjir

Bernama
Oktober 11, 2022 16:42 MYT
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dengan keanggotaan seramai 1,294 orang bersiap siaga bagi menghadapi musim banjir kali ini, kata Pengarahnya Zainal Madasin. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan dengan keanggotaan seramai 1,294 orang bersiap siaga bagi menghadapi musim banjir kali ini, kata Pengarahnya Zainal Madasin.
Beliau berkata jumlah tersebut merangkumi anggota beruniform, Pasukan Bomba Bantuan dan Pasukan Bomba Sukarela yang terlatih.
Katanya dari segi persiapan logistik, bomba Kelantan turut bersedia dengan 57 bot pelbagai jenis, 11 lori, 37 kenderaan pacuan empat roda, 203 peralatan komunikasi dan 811 jaket keselamatan.
"Kita juga akan mendapatkan bantuan keanggotaan dari negeri lain yang tidak terkesan dengan banjir, bergantung kepada skala bencana yang berlaku.
"Dari segi cuti pula, kita hanya memberikan kelulusan setakat 20 peratus daripada keanggotaan yang ada tetapi sekiranya berlaku banjir besar cuti akan dibekukan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Zainal berkata bagi melancarkan gerak kerja bantuan, pihaknya akan membuat arahan mobilisasi keanggotaan mengikut keperluan semasa dan kawasan.
Menurutnya setakat ini JBPM Kelantan memberi perhatian khusus terhadap 595 'hotspot' di negeri itu sepanjang fasa peralihan monsun timur laut yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.
"Antara kawasan tersebut ialah di Pasir Mas, Tumpat, Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Pasir Puteh dan Kota Bharu.
"Selain itu, kami juga akan fokus ke kawasan bercerun seperti di Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai yang berisiko berlakunya tanah runtuh dan membahayakan orang ramai sekiranya berlaku hujan lebat dalam tempoh yang lama," katanya.
Zainal berkata pihaknya juga sedang giat menjalankan pemantauan di kawasan berisiko terutamanya penempatan penduduk di kawasan rendah dan menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada sekiranya berlaku hujan lebat berterusan.
-- BERNAMA
#bomba kelantan #musim banjir #siap siaga #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
;