1,279 kawasan di Lembah Klang alami gangguan air bermula 6 petang ini

Umavathi Ramayah
November 10, 2020 16:12 MYT
Gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan lebih 1.14 juta akaun merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Lapan kawasan di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air bermula 6 petang ini berikutan pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor.
Gangguan bekalan air tidak berjadual itu melibatkan lebih 1.14 juta akaun merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.
Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Elina Baseri berkata, selepas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan berhubung pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor kira-kira pukul 12.45 tengah hari, Air Selangor terpaksa menghentikan tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.
"Sehingga pukul 2:30 petang ini (Selasa), pencemaran di muka sauk LRA Rantau panjang dikesan pada tahap lapan TON dan LRA SSP1, 2 dan 3 pula pada tahap empat TON," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Elina menambah, usaha untuk mencairkan bahan pelarut dan flushing bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor telah dilakukan dengan melepaskan air dari empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari dan empangsan Sungai Tinggi sebanyak 500 juta liter sehari.
Dalam pada itu, katanya, LUAS juga telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam Kuala Lumpur Larut dengan kapasiti 192 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.
"Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes COVID 19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas," ujarnya.
Orang ramai diminta untuk melayari www.airselangor.com, Twitter, Facebook, Instagram Air Selangor untuk maklumat lanjut mengenai gangguan bekalan air tidak berjadual dari semasa ke semasa.
BACA: Pencemaran bau: Loji Rawatan Air Rantau Panjang henti tugas
#perintah kawalan pergerakan bersyarat #gangguan air #Lembah Klang #Air Selangor #gangguan bekalan air tidak berjadual
;