1,238 penghuni PPR, RSK Johor diberi notis kosongkan rumah - Exco
Bernama
Mei 13, 2024 22:43 MYT
Mei 13, 2024 22:43 MYT
ISKANDAR PUTERI: Seramai 1,238 penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Sewa Kerajaan (RSK) di Johor telah diberi notis selama 14 hari untuk mengosongkan kediaman mereka setelah didapati melanggar syarat dan terma ditetapkan.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya melakukan kemaskini dokumen perjanjian dan pemprofilan 19,632 unit kediaman melibatkan 15 PPR dan tujuh RSK sejak tahun 2022.
"Kita telah selesai melakukan pemprofilan terhadap 97 peratus unit kediaman berkenaan dan dikenalpasti 1,238 penghuni melanggar syarat termasuk 613 daripadanya melakukan sublet atau sewa atas sewa. Mereka dapat kediaman ini dengan harga sewa RM250 sebulan, kemudian menyewakan kepada pihak ketiga dengan harga berlipat ganda.
"Jadi, kesemua penghuni ini sudah diberi notis dan sekiranya ada yang berdegil, kita akan minta mereka keluar dengan bantuan polis dan melalui pemotongan bekalan air," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Beliau berkata isu berkenaan bukanlah isu baharu dan pihaknya komited memastikan setiap kediaman PPR dan RSK yang disediakan di negeri ini akan dihuni penduduk yang benar-benar layak.
"Perkara ini bukan berlaku di Johor sahaja, tetapi di setiap negeri yang mempunyai kediaman sedemikian.
"Kediaman ini dikhususkan untuk keluarga dengan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah. Bagi yang berpendapatan atas RM3,000 dinasihatkan untuk memohon kediaman Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ)," katanya sambil menambah isu sublet merupakan antara yang diberi penekanan serius selain isu tunggakan bayaran dan penyambungan utiliti secara haram.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip (BN-Buloh Kasap) berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM5 juta bagi pelaksanaan Program Jualan Kasih Johor melibatkan 300 lokasi di seluruh negeri, sepanjang tahun ini.
"Program ini menyasarkan 800,000 penerima manfaat khususnya golongan B40 dan produk yang ditawarkan dengan pengurangan harga termasuklah ayam, telur, minyak masak dan ikan," kata Zahari ketika menjawab soalan lisan Datuk Jefridin Atan (BN-Kukup) yang ingin tahu mengenai pelaksanaan program tersebut di negeri itu pada persidangan DUN Johor.
-- BERNAMA