1,217 pesakit dimasuk ke hospital sehingga 14 Feb, 400 kes kategori 3, 4 dan 5

Ridauddin Daud
Februari 14, 2022 12:17 MYT
Dr Noor Hisham memberitahu sebanyak 400 kes atau 32.9 peratus merupakan kategori 3,4 dan 5. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Seramai 1,217 pesakit COVID-19 dimasukkan ke hospital sejak awal Januari hingga hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Menerusi satu kenyataan pada Isnin, beliau memberitahu daripada jumlah itu, sebanyak 400 kes atau 32.9 peratus merupakan kategori 3,4 dan 5.
Beliau berkata, selebihnya atau 817 kes lagi tergolong dalam kategori 1 dan 2.
“Dimaklumkan bahawa meskipun semasa kes diuji dan baru didiagnosis kebanyakan pesakit adalah pada kategori yang rendah, namun dalam hari-hari berikutnya ada kes yang boleh merosot ke kategori yang lebih tinggi lalu dimasukkan ke hospital.
“Sehingga 14 Februari 2022, kes baharu COVID-19 yang dimasukkan ke hospital adalah 1,217 kes.
“Sebanyak 13 kes telah dimasukkan ke ICU dan 1,005 kes telah ditempatkan di katil biasa. Pada masa yang sama, 918 kes COVID-19 telah didiscaj dari hospital,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, kadar kebolehjangkitan (R-Naught) COVID-19 di Malaysia adalah pada kadar 1.43 dengan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan kadar tertinggi iaitu pada 1.90.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan hanya 87 kes kategori 3, 4 dan 5 direkodkan pada 14 Februari 2022 daripada jumlah keseluruhan 21,315 kes yang direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.
Dr Noor Hisham berkata, angka itu menyaksikan hanya 0.41 peratus berada dalam kategori tersebut dan selebihnya, sebanyak 21,228 kes berada dalam kategori 1 dan 2.
Tambah beliau, jumlah kumulatif kes di Malaysia kini berjumlah 3,061,550 kes.
#Dr Noor Hisham Abdullah #ICU #kadar kebolehjangkitan #COVID-19