1.2 juta menunggang motosikal tanpa lesen di negara ini

Bernama
November 9, 2016 17:55 MYT
Mengikut data, hanya 7.6 juta penduduk yang mempunyai lesen motosikal. - Gambar fail
Kementerian Pengangkutan menganggarkan sebanyak 1.2 juta penunggang motosikal di negara ini tidak memiliki lesen, kata Timbalan Menterinya Datuk Ab Aziz Kaprawi .
Beliau berkata, anggaran itu adalah berdasarkan andaian penunggang motosikal tanpa lesen adalah antara lapan hingga 10 peratus daripada 15 juta penduduk yang layak memiliki lesen.
"Mengikut data, hanya 7.6 juta penduduk yang mempunyai lesen motosikal dan ini bermakna lebih kurang 50 peratus mereka yang berusia 16 tahun ke atas memiliki lesen itu," katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Johari bertanya mengenai jumlah motosikal yang berdaftar, penunggang tidak berlesen dan sistem pengambilan lesen yang beliau dakwa sebagai menyusahkan serta kos yang tinggi menjadi punca penunggang tidak mahu mengambil lesen.
Ab Aziz berkata berdasarkan rekod pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sehingga 31 Dis tahun lalu sebanyak 12,089,747 buah motosikal didaftarkan.
Beliau berkata kerajaan amat menitikberat isu-isu berhubung keselamatan jalan raya termasuk aspek prosedur pelesenan pemandu.
Katanya berdasarkan kawalan harga siling yang ditetapkan, kos pengambilan lesen bukanlah faktor utama golongan remaja terutama pelajar menunggang tanpa lesen.
Sebaliknya menurut Ab Aziz, ia lebih kepada sikap dan kurangnya tahap kesedaran mereka tentang bahaya menunggang tanpa lesen dan kepentingan keselamatan diri semasa di jalan raya yang perlu ditangani melalui program advokasi dan penguatkuasaan yang lebih berkesan.
-- BERNAMA
#Ab Aziz Kaprawi #keselamatan jalan raya #tanpa lesen #tunggang motosikal
;